Jumat, 12 April 2013

Azizan tergolek, Kedah kecundang?

Tengah hari semalam, ketika berjalan ke surau, saya tersadung. Mujur sekadar terpelecok dan saya masih boleh berjalan walaupun terhencot-hencot. Ini hal saya, orang biasa, bukan orang besar. Akan tetapi apabila seorang menteri besar terjatuh ketika berjalan beberapa hari lepas, ia jadi isu besar. Gambar Azizan Abdul Razak terjatuh dipapar di muka depan surat khabar.

Umum memahami simbolik paparan itu. Bagi sesetengah orang, itu adalah petanda kejatuhan Kerajaan PR Kedah pada pilihan raya ini. Seperti diatur, terpelecoknya Azizan yang kerajaan dan partinya dilanda pelbagai masalah dalaman, berlaku pada musim pilihan raya. Ini musim orang tercari-cari isu hingga yang bukan isu pun dijadikan isu.

APA SAHAJA DIJADIKAN ISU

Sehari selepas Parlimen dibubarkan, seorang pemimpin pembangkang mempersoalkan sama ada pembubaran yang diumum Najib Tun Razak, sah atau tidak. Ini kerana dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen, Najib tersilap menyebut tarikh 3 April 2012, bukan 2013.

Lalu dipersoal sama ada pembubaran itu memenuhi kehendak undang-undang kerana pilihan raya harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.

Keghairahan mencari isu menyebabkan ada yang terlupa bahawa yang diambil kira adalah watikah pembubaran yang ditanda tangani Yang di-Pertuan Agong, bukan pengumuman televisyen.

Dalam keadaan ini, pembangkang yang dilihat begitu yakin akan mengambil alih Putrajaya pada PRU13, seharusnya bersikap lebih matang dan profesional, bukan tingkah laku biasa yang seperti kemaruk isu untuk dipolemikkan.

MANIFESTO: SIAPA TIRU SIAPA

Sekarang kita tertunggu-tunggu, apa isu yang benar-benar jadi perhatian pengundi pilihan raya edisi ke 13 ini. Persaingan manifesto - yang paling diberikan perhatian dalam mana-mana pilihan raya di seluruh dunia tetapi mungkin agak kurang perhatiannya di negara kita - kini dimomok dengan isu ciplak.

Soal sejauh mana rakyat akan dapat dipujuk untuk terus memberi mandat kepada BN, masih jadi persoalan dalam keadaan pembangkang dilihat makin berupaya memberikan alternatif dalam isu-isu tertentu - seperti menurunkan harga kereta - hingga mempengaruhi kerajaan untuk menyemak semula dasar yang berkaitan.

Dalam pada itu, tradisi berpolitik di Malaysia yang sentiasa hangat sepanjang tahun masih juga dilihat memberi tempat kepada isu-isu picisan, terutama berkaitan agama yang sudah sekian lama jadi jadi garis pembahagi antara Pas dengan Umno.

Media tertentu masih memomokkan apa yang disebut sebagai fatwa Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa solat orang Umno tidak dapat pahala. Dalam masa yang sama, media propembangkang terutama media baru pula mendedahkan kenyataan sebenar Nik Aziz bahawa solat atau amalan kebajikan sama ada oleh orang Umno atau orang Pas, jika dilakukan dalam keadaan menolak Islam, riyak atau kedekut, sama-sama tidak akan mendapat ganjaran pahala di sisi ALLAH.

Beliau merujuk ayat 4 hingga 7 surah al Ma’un. Situasi hangat musim pilihan raya dapat dilihat apabila Muhyiddin Yassin sendiri turut memberi perhatian terhadap kenyataan Tok Guru Pas itu hingga melabel Pas sebagai ‘parti ajaran sesat’ dalam satu kenyataan pada 6 April 2013.

BILA DAP GUNA SIMBOL BULAN


Kita juga tertunggu-tunggu apakah silent majority dalam Pas merestui keputusan pucuk pimpinan parti itu membenarkan DAP menggunakan simbol mereka pada pilihan raya ini? Apakah hati mereka tidak tambah terluka setelah Lim Guan Eng pada penghujung tahun lalu mendesak kerajaan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah ALLAH?

Meskipun pimpinan Pas sudah menyatakan keputusan mereka berhubung perkara itu dalam kenyataan kelihatannya seperti mudah tetapi tidak mudah untuk difahami, apa lagi dipatuhi, dipercayai silent majority di kalangan akar umbi, masih sukar untuk memahami pendirian pemimpin parti.

Jauh di lubuk hati, mungkin masih ada ragu dan kecil hati dan apakah mereka menunggu untuk memberikan reaksi menerusi kertas undi pada pilihan raya umum ini?

Muhamad Mat Yakim@Sinar Harian

Tidak ada komentar:

Posting Komentar