Selasa, 09 April 2013

Berbaloikah usaha PAS letak Husam di Putrajaya? Satu kupasan menarik...

PUTRAJAYA bukan hanya sebuah kawasan Parlimen tetapi ia adalah lambang maruah dan kuasa pemerintahan kerajaan pusat.

Ia adalah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia.

Maka tidak hairan mengapa ia menjadi rebutan dan dambaan sama ada parti pemerintah mahupun pembangkang untuk menduduki takhta itu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Putrajaya adalah mercu tanda kehebatan, lambang kegemilangan pemerintahan.

Bukan calang-calang calon diletakkan mengisi kerusi Parlimen penting ini.

Penyandang semasa kawasan kawasan Parlimen itu ialah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau merupakan Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN), bekas menteri dan pernah menerajui pelbagai jawatan penting dalam sektor korporat.

Pada pilihan raya 2004, PKR telah mencuba nasib dengan meletakkan calonnya bertanding di Putrajaya, namun dikalahkan oleh Tengku Adnan.

Pada 2008, Pas pula meletakkan calonnya di kerusi itu namun turut ditewaskan oleh Tengku Adnan yang memperoleh majoriti 2,734 undi.

Bukan mudah nampaknya hendak menawan kerusi lambang kebanggaan Umno-BN ini.

Pas dalam percubaan keduanya mengumumkan meletakkan Naib Presiden parti itu, Datuk Paduka Husam Musa untuk menyayingi Tengku Adnan di Putrajaya pada PRU13.

Tengku Adnan atau lebih mesra dengan panggilan Ku Nan sebelum ini berkata, beliau sudah sedia untuk mempertahankan tampuk pemerintahan itu walau siapa pun yang datang hendak menentangnya.

Pemerhati politik, Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, meletakkan Husam di Putrajaya adalah satu pembaziran sumber manusia yang dilakukan oleh Pas.

"Husam ini ada potensi tetapi diletakkan di lubuk Umno, maka ia membunuh potensi itu," ujar beliau.

Husam adalah seorang tokoh muda profesional dalam Pas. Husam pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau kemudian bertanding di peringkat Dun kerana potensinya yang dilihat boleh menggantikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz suatu hari nanti.

Pemilihan Husam untuk diregukan dengan Ku Nan, ada logiknya.

Namun menurut Agus lagi, Pas perlu berfikir untuk meletakkan calon bagi tujuan menang dan mengangkat calonnya itu menjadi penggubal undang-undang dan dasar negara.

"Kita kena buat ini sebagai persaingan parti. Parti-parti yang strategik, di mana kerusi yang boleh kita menang, hantar wakil kita untuk dibawa ke Parlimen," katanya.

Melihat pula Pas meletakkan seorang lagi naib presidennya di Pulai, Johor, itu disifatkannya sebagai munasabah berbanding Putrajaya.

"Pulai ini kawasan campuran. Dari segi politiknya banyak lagi perkara yang boleh berlaku. Jadi ada peluang untuk melawan," ujar beliau.

Kerusi Parlimen Pulai disandang oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau adalah ahli Parlimen dua penggal kawasan itu.

Nur Jazlan merupakan anak kelahiran Johor dan merupakan anak kepada tokoh veteran Umno, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.

Sementara Salahuddin Ayub pula merupakan anak kelahiran Pontian, Johor. Beliau juga merupakan ahli Parlimen dua penggal berturut-turut bagi kawasan Parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

Salahuddin diminta pulang ke Johor sebagai strategi untuk membantu jentera Pakatan Rakyat menembusi negeri yang menjadi kubu kuat BN itu.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Ismail Sualman dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpandangan tindakan Pas mengumumkan nama-nama besar dalam parti itu bertanding di kerusi-kerusi panas hanya satu perang psikologi.

"Ini taktik untuk meraih undi menggunakan cara psikologi.

"Saya yakin, selagi belum penamaan calon apa-apa pun boleh berlaku," ujar beliau.

Menurut Ismail, kedua-dua kawasan yang diletakkan naib presdien Pas ini sememangnya kubu kuat BN.

Nur Jazlan katanya bukan, pesaing sembarangan buat Salahuddin. Beliau tokoh yang disifatkannya "pandai jaga kawasan".

Pemimpin itu pada PRU12 pada mengalahkan calon Pas, Abdullah Ideris dengan majoriti 20,449 undi manakala pada 2004, ketika kali pertama bertanding beliau mengalahkan calon dari PKR, Md Nasir Ab Wahab dengan majoriti 34,926 undi.

PRU13 ini Pas sekali lagi bakal meletakkan calonnya seorang pemimpin besar dalam parti itu.

Pastinya penduduk Pulai sukar untuk membuat pilihan.

Kedua-dua pemimpin ini punya karakter dan kewibawaan masing-masing sebagai pemimpin.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpandangan Pas kini sedang menggunakan pendekatan 'reverse psychology' terhadap BN.

Beliau juga setuju untuk mengatakan kedua-dua calon yang diletakkan Pas itu berkemampuan untuk menarik sokongan rakyat.

"BN akan terus pertahankan kubu mereka daripada sepatutnya mereka menyerang PR," katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar