Sabtu, 06 April 2013

Dia ingat dia tuhan ke apa?


KUALA LUMPUR 6 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyindir Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersikap seperti 'Tuhan' ekoran dakwaan Mursyidul Am Pas itu bahawa solat orang UMNO tidak mendapat pahala kerana kononnya parti itu menolak Islam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, fatwa songsang Nik Abdul Aziz yang menggelarkan dirinya sebagai tokoh agama di dalam Pas itu amat mengecewakan umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, kenyataan tersebut telah disanggah oleh ramai tokoh agama termasuk mufti-mufti, malah ramai umat Islam tahu hanya Allah SWT yang berkuasa menentukan amalan seseorang itu diberi balasan pahala atau dosa.

''Kalau solat yang dianggap sebagai tuntutan agama dikerjakan umat Islam tanpa mengira latar belakang politik dikatakan oleh Pas tak dapat pahala, ini semacam mengatasi Tuhan.

''Yang nak beri pahala dan dosa itu bukan dia tetapi dia dah hukum macam tu,'' katanya dalam sidang akhbar selepas program turun padang di sekitar Kondo Rakyat Desa Pantai, Lembah Pantai di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar merangkap Pengerusi BN Parlimen Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Muhyiddin dan Noorainee yang tiba pada pukul 9 pagi meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dengan penduduk dan peniaga di sekitar kawasan Kondo Rakyat Desa Pantai sebelum bersarapan pagi bersama orang ramai

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan membuat kenyataan itu ketika menyampaikan ceramah di Kampung Jambu, Kota Bharu, Kelantan pada 3 Mac lalu.

Tambah Muhyiddin, kenyataan terbaharu oleh Nik Abdul Aziz itu membuktikan Pas layak digelar sebagai 'parti ajaran sesat' dan bukannya Parti Islam Se-Malaysia.

Beliau memberitahu, ramai orang akan sesat sekiranya mengikut Pas yang mempergunakan agama untuk tujuan politik, justeru hakikat itu menjadi peringatan kepada rakyat agar tidak mempercayai parti berkenaan.

''UMNO merupakan sebuah parti yang telah lama berjuang untuk Islam. Kita berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan, menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan, membela umat Islam, membangunkan bidang iktisad dan menyebarkan syiar Islam,'' ujarnya.

Muhyiddin juga meminta Nik Abdul Aziz agar tidak menyalahkan media kononnya tersalah lapor tentang kenyataan tersebut seperti yang pernah dilakukannya dalam banyak isu, melibatkan beliau sebelum ini.

Berhubung hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-13, beliau percaya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu malu setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggelarkannya sebagai penakut jika tidak berbuat demikian.

''Dia kata tak takut tetapi saya fikir hati dia gementar sebab dia dengar kita akan meletakkan calon yang hebat, jadi dia berkira-kira, kalau duduk lama tak boleh bertahan.

''Tetapi bila Perdana Menteri cabar, dia malu. Jadi, dia berkira-kira hendak balik semula ke Permatang Pauh,'' jelasnya.

Bagaimanapun, Muhyiddin memberitahu, pengundi di Permatang Pauh boleh menilai dengan bijak siapa sebenarnya Anwar dan pencapaiannya sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat mereka.

Anwar sebelum ini dikhabarkan mungkin bertanding di Perak atau Selangor, namun beliau akhirnya memutuskan untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar