Kamis, 11 April 2013

DUN Sg Acheh: Tanding tiga penjuru, Mat Sabu pening kepala!

GEORGETOWN: Kepimpinan tertinggi PKR dan PAS akan berbincang untuk menyelesaikan kemungkinan pertembungan tiga penjuru di Sungai Acheh rentetan pengumuman kedua-dua parti berkenaan untuk meletakkan calon di kerusi itu.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, berkata isu itu akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon pada 20 April.

"Pemimpin-pemimpin kami akan membincangkan perkara ini dan menyelesaikannya," katanya dalam satu sidang media ringkas di ibu pejabat DAP Pulau Pinang hari ini.

Malam semalam, Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Salleh Man mengumumkan bahawa parti itu akan meletakkan Ketua Pemuda PAS negeri Yusni Mat Piah bagi kerusi itu.

Sehari sebelum ini, Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman mengumumkan bahawa parti itu akan meletakkan Badrul Hisham Shahrin atau dikenali sebagai 'Chegubard' di Sungai Acheh.

Kerusi tradisi PAS itu telah diserahkan kepada PKR pada pilihan raya umum 2008 namun kalah kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mahmud Zakaria dengan majoriti tipis 250 undi.

Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu berkata PAS setakat ini telah menyelesaikan lebih dari 100 kerusi bertindih dan yakin isu kerusi Sungai Acheh akan berjaya diselesaikan.

Beliau menambah bahawa kepimpinan pusat akan bertemu tidak lama lagi untuk menyelesaikan ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, perbincangan itu hanya akan melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi PKR dan PAS.

"Ia adalah lebih baik bagi pucuk pimpinan untuk menyelesaikan ini," katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar