Jumat, 05 April 2013

Mat Sabu janji batalkan projek MoU LIMA yang menguntungkan negara

JOHOR BAHRU 6 April - Belum pun menang atau memerintah, namun pakatan pembangkang telah menunjukkan taring dan wajah sebenarnya apabila parti itu akan membatalkan projek menguntungkan negara dan rakyat yang dirancangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Antaranya ialah pendirian pakatan pembangkang yang mahu membatalkan semua memorandum persefahaman(MoU) bernilai RM4.2 bilion dimeterai semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2013 (LIMA 2013) sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dengan tuduhan ia 'mencuri duit rakyat'.

Ternyata, pimpinan pakatan pembangkang sengaja memutarbelitkan fakta untuk mengelirukan rakyat, sedangkan sebelum ini, kerajaan telah pun menjelaskan bahawa semua MoU itu dimeterai antara syarikat-syarikat swasta dan tidak melibatkan kerajaan.

Malah, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dalam kenyataan sebelum itu menegaskan, sebagai contoh MoU antara DRB-Hicom Bhd. dengan sebuah syarikat Sweden, Saab AB (Saab) melibatkan bilion ringgit, ia tidak ada kaitan dengan kerajaan yang hanya bertindak menyaksikan MoU itu ditanda tangani.

Malam tadi, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mendakwa, MoU ditanda tangani itu taktik BN untuk mencuri duit rakyat.

"Oleh kerana perjanjian ini baru (peringkat) MoU, belum lagi agreement, kita ambil alih Putrajaya bulan hadapan, kita tolak perjanjian ini. Kalau agreement kita tak boleh buat apa, kalau MoU kita boleh kaji semula.

"Bahkan dekat nak 'mati' pun BN ni nak curi lagi duit rakyat. Saya dan rakan lain dah kata Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) tak akan bubar Parlimen selagi LIMA Langkawi tak selesai," katanya semasa berceramah di Bandar Baru Uda di sini malam tadi.

Dalam ceramah yang hanya dihadiri kira-kira 200 orang itu, Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut mengulangi janji terkandung dalam manifesto pakatan pembangkang termasuk pemansuhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pemberian pendidikan percuma. - UTUSAN ONLINE

Tidak ada komentar:

Posting Komentar