Minggu, 07 April 2013

Nooh Gadut ajar 'ilmu kebatinan' kepada Nik Aziz

KUALA LUMPUR 8 April - Usaha membina masjid untuk menzahirkan sedekah atau kebaikan kepada orang ramai bagi tujuan menggalakkan manusia beribadah, berbuat baik atau melakukan perkara sama dibolehkan dalam Islam selagi perbuatan itu adalah ikhlas.

Bagaimanapun, menurut Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, tidak boleh seseorang itu membina masjid untuk perpecahan, perkelahian atau permusuhan.

"Masjid merupakan lambang kesatuan hati, spiritual, minda dan fikiran, objektif, misi dan matlamat dan lambang kepada satu perlaksanaan sama yang abadi.

"Siapa yang tahu ikhlas atau tidak, awak jadi kontraktor. Ia (keikhlasan) benda dalaman. Dalam hadis nabi, kita menghukum apa yang lahir. Yang batin, hanya Allah sahaja yang tahu dan kalau itu syariatnya, tuduhan atau tohmahan tersebut lari daripada yang hak,'' katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Nooh diminta mengulas kenyataan terbaharu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan UMNO membina masjid bukan kerana Islam sebaliknya kerana ingin menjadi kontraktor.

Tokoh agama tersebut turut menyatakan, sepatutnya, seseorang itu menggalakkan individu lain berbuat kebaikan dan kebajikan.

Malah, ujar Nooh, sebagaimana ayat 48 surah Al-Maaidah, seseorang itu digalakkan berlumba-lumba membuat kebaikan.

"Kita sepatutnya menggalakkan dan bukannya menghalang. Kita hamba Allah tidak boleh menghukum. Yang menentukan orang buat (sesuatu) kerana apa hanyalah Allah sahaja,'' tambahnya.

Selain itu, Nooh memberitahu, sebagai umat Islam kita tidak boleh bersangka buruk kepada sesiapa walaupun individu tersebut berbeza pendapat mahupun atas nama politik.

Ini kerana, dalam Al-Quran ada menyebut, bersangka buruk adalah sebahagian daripada dosa bosar.

"Akhlak baik dalam Islam ialah kita mesti bersangka baik," kata Noh.

Dalam kenyataan terbaharu, Menteri Besar Kelantan tersebut selepas melancarkan Projek Pawah Rusa di Kompleks Perkhidmatan Veterinar di Kota Bharu, Kelantan turut berkata, program-program berkaitan Islam yang dilakukan UMNO juga tidak mendapat pahala kerana parti tersebut menolak Islam.

"Di Kelantan ini banyak mana projek-projek Kerajaan Pusat buat, sepatah pun tidak memberitahu harga sebenar.

"Tentu ada benda yang tersembunyi, orang Melayu panggil 'sambil menyelam sambil minum air'. UMNO pula 'sambil menyelam sambil bekwoh' (kenduri). Bukan setakat minum sahaja, makan besar," katanya.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya dalam ceramah di Kampung Jambu, Kelantan, 3 April lalu, yang mendakwa sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala kerana mendakwa parti itu menolak dasar Islam. - UTUSAN ONLINE

Tidak ada komentar:

Posting Komentar