Jumat, 12 April 2013

Pahala Tok Pa kini bertambah-tambah - Hj Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap penyebaran gambar dan DVD lucah yang dikaitkan dengan pemimpin kanan parti itu sebagai fitnah dan bukan masalah besar kepada PAS.

Beliau berkata perkara itu tidak serius dan pemimpin kanan PAS yang dianggap mangsa fitnah itu tidak perlu memberi penjelasan kepada parti kerana banyak lagi perkara lain yang perlu dibuat ketika ini.

"Kita (PAS) anggap itu satu fitnah...lagi lama dia siar, lagi pahala banyak dapat kepada dia (pemimpin itu).

"Kita yakin benda itu tidak benar dan dia siar, dia berdosa, biarlah dia siar lagi luas lagi banyak dapat pahala," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rusila, Kuala Terengganu hari ini.

Abdul Hadi berkata beliau hairan kenapa pemimpin terbabit menjadi mangsa kerana beliau bukanlah calon PAS untuk bertanding mana-mana kerusi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.

Katanya PAS berserah kepada Tuhan untuk memberikan petunjuk dan setakat ini, beliau tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang bertanggungjawab membuat fitnah itu.

Semalam di Kampung Alor Lintang Besut, polis dilaporkan menemui 16 bungkusan yang mengandungi gambar dan DVD lucah dipercayai melibatkan seorang pemimpin kanan PAS.

- Bernama

Tidak ada komentar:

Posting Komentar