Jumat, 05 April 2013

Pembahagian kerusi pembangkang terus temui jalan buntu

Petaling Jaya: Perbincangan pembahagian kerusi antara PKR, PAS dan DAP terus menemui jalan buntu tanpa sebarang penyelesaian walaupun pemimpin kanan pembangkang memberi jaminan isu itu akan dimuktamadkan semalam.

Mesyuarat jawatankuasa agihan kerusi pakatan pembangkang disertai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali; Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, semalam masih belum memuktamadkan senarai calon.

Tumpuan kepada Johor

Azmin yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PKR, berkata perbincangan semalam lebih menjurus kepada pembahagian kerusi di Johor, Sabah dan Sarawak, manakala selebihnya bakal dimuktamadkan Isnin ini.

“Semalam, kita beri tumpuan kepada Johor, Sabah dan Sarawak. Kita setuju untuk adakan satu lagi pusingan untuk bincang dan kali ini, membabitkan semua ketua parti iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS) dan Lim Kit Siang (DAP).

“Apa yang kami bincangkan semalam akan dibentangkan pada mesyuarat Isnin ini untuk membolehkan kepemimpinan tertinggi pakatan pembangkang membuat keputusan,” katanya.

Kelmarin, mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat turut gagal mencapai kata sepakat mengenai pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ditanya mengenai kerusi yang bakal ditandingi Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, Azmin berkata, perkara berkenaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, Mustafa berkata, pakatan pembangkang sudah hampir 95 peratus memuktamadkan agihan kerusi, termasuk di kawasan yang bertindih di Sabah dan Sarawak.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar