Minggu, 14 April 2013

(Pengakuan) Ibu sambung belajar, ayah 'main' perempuan lain...

Saya remaja berusia belasan tahun dalam dilema bagi mencari jawapan mengenai sikap ayah yang berubah sejak kebelakangan ini.

Saya dapati, setiap malam ayah akan menghantar mesej melalui telefon bimbitnya. Mulanya saya percaya ayah melakukannya atas dasar kerja, namun akhirnya saya dapati ia adalah mesej kepada perempuan lain.

Saya cukup terkejut dan rasa tergamam melihat kandungan mesej itu yang jelas sangat mesra. Rasa sakit hati lebih memuncak kerana tahu ayah curang pada ibu.

Kerana itu saya mula membenci ayah dan merasakan semua lelaki begitu. Ayah seorang pemimpin dan sepatutnya menunjukkan contoh yang baik.

Ibu saya seorang guru dan dia sangat baik serta lemah lembut. Dia melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di sebuah institusi pengajian tinggi awam.

Saya tahu ibu terbeban dengan segala tanggungjawab, tapi pada masa sama tidak sanggup ayah terus membohongi ibu.

Malah, saya takut menerima kemungkinan ayah akan berkahwin lagi. Ayah memang baik tapi bila tembelangnya pecah, saya tidak percaya lagi padanya.

ANAK BIMBANG,
Johor.

Pola keluarga yang bahagia kini adik lihat terancam akibat tingkah laku ayah yang kerap menghantar mesej melalui telefon bimbitnya. Bentuk ancaman ini memberi kesan kepada adik serta ibu. Seboleh-bolehnya adik ingin mengekalkan pola keluarga sedia ada kerana merasa selesa dengannya. Sebagai anak, sememangnya adik akan merasa sedih jika perkahwinan ibu bapa tidak bahagia.

Oleh kerana setiap orang ingin disayangi dan menyayangi, ayah adik menggunakan medium telefon bimbit untuk memenuhi perasaan kasih sayangnya.

Berhubungan melalui telefon kini dilihat antara cara mudah untuk memenuhi keinginan sayang antara dua insan. Ini menerangkan mengapa ayah berhubung mesra dengan wanita lain, iaitu ingin memenuhi keinginan untuk disayangi dan dipunyai.

Sejauh mana seriusnya hubungan mereka masih lagi menjadi tanda tanya kerana apa yang adik ketahui hanya melalui kata-kata sayang antara mereka.

Tindakan ayah tidak melambangkan tingkah laku semua lelaki. Merasa takut kepada satu tingkah laku akan menjerat adik dalam perasaan tidak keruan.

Soal curang berlaku kepada lelaki atau perempuan juga tanpa mengira jawatan sama ada seorang pemimpin atau tidak. Membenci hampir semua lelaki kerana perbuatan ayah yang adik lihat sebagai curang tidak membantu membina emosi dan pemikiran positif.

Sebagai ketua keluarga dan pemimpin, ayah mempunyai ciri-ciri baik seperti suka menolong dan memberi nafkah kepada keluarga. Sama-samalah kita harapkan ciri ini tidak akan berubah.

Apa yang berlaku antara ayah dan ibu adalah urusan rumah tangga mereka. Ibu boleh berbincang dengan ayah mengenai perkara ini agar mereka dapat menyelesaikan masalah berdua. Selalunya, seorang isteri dapat membaca hati dan mengagak tingkah laku curang suaminya.

Sebagai anak, sewajarnya adik inginkan perkahwinan mereka bahagia. Adik boleh mendoakan kebahagiaan perkahwinan mereka dan terus menjalankan tugas adik sebagai anak dengan baik. Tumpukan perhatian adik kepada pelajaran dan sentiasa berdoa akan kebahagiaan perkahwinan ibu dan ayah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar