Minggu, 07 April 2013

PKR harap PAS serah satu kerusi kepada DAP

ALOR SETAR, 6 April — Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah yakin PAS akan menyerahkan satu kerusi kepada DAP menjadikan dua untuk ditandingi parti itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Pengerusinya, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata walaupun rundingan peringkat presiden parti berhubung permintaan satu lagi kerusi yang dipohon DAP belum muktamad, beliau yakin PAS akan bersetuju atas dasar setiakawan.

Beliau berkata ketiga-tiga parti setuju dengan pembahagian mengikut PRU12 iaitu PAS bertanding 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PKR (11) dan DAP satu kerusi, namun DAP memohon tambahan satu kerusi kali ini.

Pada PRU12, PAS memenangi 15 kerusi DUN, PKR (lima) dan DAP (satu). Bagi kerusi Parlimen, PAS menang lima daripada lapan kerusi yang ditandingi manakala PKR menang enam daripada tujuh kerusi. Barisan Nasional menang empat kerusi.

Wan Salleh, yang dijangka bertanding satu daripada dua kerusi DUN di Langkawi, bagaimanapun enggan menyatakan kawasan DUN yang dituntut DAP.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, Wan Salleh berkata Penasihat Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan senarai calon DUN dan Parlimen PKR Kedah di Bandar Laguna Merbok, malam esok.

Mengulas peluang PKR pada PRU13, beliau optimis parti itu mampu menambah bilangan kerusi DUN dan Parlimen serta mempertahan pemerintahan negeri berdasarkan perkembangan terbaharu dan persiapan menghadapi pilihan raya.

Pada sidang akhbar itu juga, Wan Salleh menafikan beliau menerima peruntukan sebanyak RM150,000 dari ibu pejabat parti tahun lepas, namun tidak mengagihkannya kepada semua 15 cabang PKR di negeri ini.

Wan Salleh berkata beliau akan membuat laporan polis berhubung fitnah itu, yang didakwa dilakukan presiden Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah merangkap bekas Ketua Angkatan Muda Kedah Khairul Anuar Ramli.

“Saya juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Khairul Anuar dan Harian Metro yang menyiarkanya pada 29 Mac lepas, namun akan menimbang menarik balik saman sekiranya kedua-dua pihak memohon maaf secara terbuka,” katanya. — Bernama

Tidak ada komentar:

Posting Komentar