Rabu, 03 April 2013

PRU13 (Sabah): Dewan Undangan Negeri bubar hari ini

KOTA KINABALU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubar hari ini serentak dengan pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Pengumuman mengenai pembubaran itu dibuat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada sidang akhbar kira-kira pukul 4 petang hari ini di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini.

Katanya beliau telah mendapatkan persetujuan daripada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini, bagi pembubaran itu.

Musa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berharap pilihan raya umum ke-13, khususnya di Sabah, berlangsung aman, teratur dan lancar mengikut lunas-lunas Perlembagaan dan proses demokrasi.

"Setelah lima tahun kita berbakti, berkhidmat dan mengabdikan diri kepada perjuangan membela nasib rakyat dan memajukan negeri Sabah yang tercinta ini, tiba masanya kita menyerahkan kembali mandat kepada rakyat," katanya.

Turut hadir anggota Kabinet negeri serta pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Saya bersama-sama jemaah menteri negeri Sabah mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama, sokongan dan komitmen yang tinggi kepada kerajaan negeri dalam menjayakan agenda pembangunan untuk kesejahteraan rakyat pada keseluruhannya.

"Semoga kerjasama, sokongan, komitmen dan kepercayaan akan terus diberikan kepada kerajaan BN menerusi mandat yang besar dalam pilihan raya akan datang demi menjamin kesinambungan pembangunan untuk kesejahteraan kita dan generasiakan datang," kata Musa.

Sementara itu, Speaker DUN Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak ketika dihubungi Bernama berkata beliau telah menyerahkan notis pengisytiharan pembubaran DUN Sabah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri.

Pada pilihan raya umum 2008, BN memenangi 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN, hanya kalah kepada DAP di Parlimen Kota Kinabalu dan kerusi DUN Sri Tanjung.

Landskap politik Sabah bagaimanapun berubah apabila Parti Maju Sabah (SAPP) dan beberapa anggota Parlimen dan Adun beralih hala tuju politik.

Anggota Parlimen BN Sabah yang kini 19 orang terdiri 12 dari Umno,masing-masing tiga dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan masing-masing satu dari Parti Liberal Demoraktik (LDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Sementara pembangkang terdiri dua dari SAPP dan satu dari DAP manakala dua lagi adalah Bebas.

Bagi kerusi DUN, BN menguasai 56 kerusi dengan Umno sebanyak 31 kerusi, PBS (12), UPKO (enam), LDP (dua), PBRS (satu), erakan (tiga) dan MCA (satu), manakala pembangkang menguasai tiga kerusi iaitu SAPP (tiga) dan DAP (satu).- Bernama

Tidak ada komentar:

Posting Komentar