Sabtu, 06 April 2013

Tauke cincin bersuara...'Cincin Rosmah' bukti fitnah kebencian Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 6 April — Pengusaha barang kemas Amerika Syarikat (AS), Jacob & Co, tampil menafikan pembelian cincin berlian bernilai RM 24 juta oleh Datin Seri Rosmah Mansor daripada mereka pada 2011, memberikan kelebihan kepada isteri pemimpin negara itu yang menafikan kritikan terhadapnya.

Dalam laman YouTube yang dimuat naik blogger Raja Petra Kamarudin semalam, pekerja kedai emas yang berpangkalan di New York itu berkata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya melihat cincin tersebut yang kemudiannya di jual kepada pelanggan yang tidak dinamakan mereka.
“Ia dihantar untuk pameran dan tujuan pemeriksaan, bukan untuk dijual, kepada pengetahuan Maira Nazarbayev di bawah jagaan Puan Rosmah Mansor,” kata Pengarah di Jacob & Co Philip Nassimi, dalam video berkenaan, merujuk kepada besan Rosmah (gambar).

Pemimpin pembangkang telah menggunakan kontroversi cincin tersebut sebagai dakwaan mereka bahawa isteri pemimpin negara itu menyalahgunakan kedudukannya untuk membeli barangan mewah.

Bagi tujuan itu, mereka mula mencetak CD, mencetak dan menerbitkan phamplete dan diedar di kawasan kerusi majoriti Melayu menunjukkan Rosmah dan cincin bernilai RM 24 juta berkenaan sejak 2011, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Namun dalam temuramah video tersebut, Nassim menjelaskan cincin dengan berlian kelabu kebiru-biruan 30.11- karat itu, bernilai US$8 juta, dihantar dari New York ke Malaysia pada 15 April 2011, kemudiannya dihantar kembali kepada Jacob & Co pada 13 Mei 2011, dan tidak pernah dibeli Rosmah.

Dalam video itu juga, dokumen penghantaran dan dokumen Perlindungan Sempadan dan Kastam AS ditunjukkan sebagai bukti cincin itu dihantar semula ke Amerika daripada Malaysia.

Nassimi berkata nama Rosmah dilihat dalam dokumen tersebut kerana firma barangan kemas itu mengkehendaki alamat penghantaran ke Malaysia, berikutan Maria bukanlah rakyat negara itu.

“Sebab kenapa nombor House Airway Bill menyertakan nama Puan Rosmah Mansor kerana menghantar barangan berharga ke Malaysia, Kuala Lumpur, ia perlu dihantar kepada rakyat Malaysia, bukan rakyat asing.”

Sebelum itu beliau berkata: “Disebabkan Maira Nazarbayev hanyalah tetamu di kediaman perdana menteru, barangan itu perlu dihantar sedemikian.”

Nassimi berkata, Maira adalah pelanggan VIP mereka sejak lebih 10 tahun, dan amat dihormati, namun ada VIP lain yang membeli cincin tersebut, yang enggan mendedahkan namanya.

“Cincin itu tidak dibeli Puan Rosmah atau Maira Nazarbayev,” katanya dalam video lebih tiga minit berkenaan.

Blogger pro Umno sejak awal minggu ini mendedahkan isteri perdana menteri tidak membeli cincin berkenaan, malah Rosmah juga dalam buku biografinya menafikan memiliki cincin berkenaan.

Dalam bukunya itu, Rosmah berkata cincin itu hanya di bawa untuk dilihat oleh Maira ketika persiapan untuk pertunangan anak perempuannya, Nooryana Najwa dengan anak lelaki Maira Daniyar Nazarbayev. Kedua-dua mereka bertunang pada 17 Jun 2011.

“Ianya tiba di Kuala Lumpur pada 16 April 2011. Selepas dilihat Maira, cincin itu dihantar keluar dari Malaysia melalui pelabuhan Singapura pada 20 April 2011. Ianya diuruskan oleh Malca Amit Malaysia dan Singapura. Ianya dipulangkan ke Ibu Pejabat Jacob & Co di New York pada 13 Mei 2012,” kata Rosmah.

Tuduhan itu pertama kalinya dibuat oleh bekas ahli jawatankuasa pusat PKR Badrul Hisham Shaharin pada 2011 apabila beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendakwa memiliki maklumat cincin berharga RM24,458,400 memasuki Kuala Lumpur dengan Rosmah merupakan penerimanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kemudiannya mengesahkan walaupun cincin itu di bawa masuk ke Malaysia, ianya tidak dijual dan dikembalikan kepada pemiliknya.

Rosmah kemudian menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah, namun tidak menyatakan sama ada beliau pernah melihat cincin berkenaan. - The Malaysian Insider

P/S: Semuanya bermula dengan artikel dari Harakah yang memetik berita fitnah yang dicipta oleh Pakatan sendiri...ternyata kaedah yang digunakan berjaya mempengaruhi segelintir masyarakat atas pagar. Moga dengan pendedahan oleh RBF di SINI mampu mencerahkan keadaan yang diserabutkan mereka...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar