Selasa, 09 April 2013

Wan Azizah 'hilangkan diri' ketika perbincangan agihan kerusi PR

PETALING JAYA: Kehilangan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika rakan-rakan Pakatan Rakyat sedang berbincang menyelesaikan persoalan calon dan agihan kerusi bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13), menimbulkan tanda tanya.

Beliau nampaknya memilih berdiam seribu bahasa tentang pencalonan dan kerusi yang bakal ditandinginya, walaupun suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memutuskan beliau tidak bertanding pada PRU13.

Sebagai presiden parti, Dr Wan Azizah seharusnya hadir di setiap mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS, namun dalam beberapa siri perbincangan antara parti-parti itu, beliau tidak kelihatan.

Satu kemungkinan yang dilihat oleh penganalisis politik berhubung perkembangan ini ialah Dr Wan Azizah semakin hilang peranannya sebagai presiden parti dan kepercayaan sepenuhnya diberikan Anwar selaku Ketua Umum PKR kepada Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, untuk mengetuai semua mesyuarat dan keputusan parti.

Mereka juga tertanya-tanya sama ada keputusan mengenai calon PKR kali ini ada melibatkan peranan Dr Wan Azizah atau beliau sendiri mungkin tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Sehingga kini anak pasangan itu yang merupakan anggota Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah, masih yakin bahawa ibunya akan bertanding dalam PRU13.

Penganalisis politik melihat kemungkinan Dr Wan Azizah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Bagaimanapun Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memberitahu Bernama bahawa Dr Wan Azizah mengalami masalah suara dan demam dalam tempoh seminggu ini.

“Kini beliau sibuk dengan aktiviti walkabout untuk kempen parti,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar di sini hari ini.

Ditanya mengenai pembabitan Dr Wan Azizah dalam urusan penentuan calon parti, katanya: “dia (Dr Wan Azizah) tidak terlibat sangat dan dia ditugaskan untuk kempen raih undi kaum wanita seluruh negara”.

Rafizi berkata presiden PKR itu mungkin akan mengadakan sidang akhbar dalam masa dua tiga hari lagi.

- Bernama

Tidak ada komentar:

Posting Komentar