Minggu, 14 April 2013

Pemilihan 'kenalan rapat' punca ramai ahli PKR bertanding bebas

KUALA LUMPUR – Keghairahan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenepikan ramai pengikut setianya semata-mata mahu memberi laluan kepada kroni beliau menjadi calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akhirnya membawa padah.

Tindakan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bukan sahaja menyebabkan ramai penyokong parti itu kini `merajuk’, malah terdapat penyandang wakil rakyat PKR yang diketepikan sebagai calon PRU13 dikatakan akan bertanding atas tiket bebas .

Situasi tegang yang melanda PKR itu terbukti apabila penyandang kerusi Parlimen Balik Pulau, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff membayangkan beliau akan bertanding sebagai calon bebas selepas namanya digugurkan dari senarai calon PRU13 parti itu tanpa sebarang alasan munasabah.

Sebuah portal berita propembangkang hari ini melaporkan Yusmadi dalam ucapannya kepada sekumpulan penyokong malam tadi sebagai berkata, beliau berkemungkinan besar akan bertindak demikian.

“Lambang parti yang akan digunakan masih belum dipastikan tetapi beliau akan meminta pendapat warga Balik Pulau sekiranya benar-benar bertindak demikian,” katanya dihadapan lebih 300 ahli PKR,.

Lebih memburukkan PKR apabila Mohd. Yusmadi memberi jaminan beliau akan membuat keputusan itu selewat-lewatnya pada 19 April ini iaitu sehari sebelum tarikh penamaan calon.

Mynewshub.my pada 6 April lalu melaporkan selepas Ketua Cabang PKR Batu Pahat, Syed Hamid Ali menjadi mangsa keghairahan Anwar menampilkan muka-muka kroninya sebagai calon PRU13, Mohd. Yusmadi turut ditinggalkan oleh ketua pembangkang tersebut selepas khidmat mereka tidak perlukan lagi.

Ia apabila Ketua Umum PKR itu dalam satu ceramah perdana secara tiba-tiba mengumumkan Pengurus Sumber Manusia Linear Semiconductor Sdn. Bhd., Muhammad Bakhtiar Wan Chik sebagai calon kerusi Parlimen Balik Pulau sekali gus mengenepikan Mohd. Yusmadi yang memenangi kerusi itu untuk PKR pada 2008.

Ibarat habis madu sepah dibuang, lebih menyedihkan apabila Anwar tidak mengumumkan sebarang kerusi Parlimen untuk ditandingi Mohd. Yusmadi pada PRU13 yang telah berjasa kepada beliau selama ini sebaliknya hanya berjanji akan memberi peguam itu jawatan dipejabatnya selepas ini.

Anwar sebelum ini mengecewakan ramai penyokong dan pendokong PKR Batu Pahat apabila mengumumkan rakan baiknya merangkap Naib Presiden NGO Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) dan bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Idris Jauzi bertanding di Parlimen Batu Pahat.

Keputusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati menyebabkan penyokong Syed Hamid mewujudkan akaun Facebook bagi menyatakan sokongan Ketua Cabang PKR Batu Pahat itu sebagai calon PKR untuk Parlimen Batu Pahat dan menolak Idris yang dianggap sebagai calon “ payung terjun”. – mynewshub.my

Tidak ada komentar:

Posting Komentar