Tampilkan postingan dengan label SUKAN. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label SUKAN. Tampilkan semua postingan

Selasa, 16 April 2013

Chong Wei, Pandalela dinobatkan Olahragawan, Olahragawati Negara 2012

PETALING JAYA – Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan ratu terjun negara Pandelela Rinong dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara 2012 di sini Selasa malam.

Bagi Chong Wei ini adalah kali keempat beliau menerima anugerah itu, dengan pertama kali menerima anugerah berkenaan pada tahun 2005 dan diikuti pada 2008 dan 2011.

Sementara Pandelela ini adalah kali kedua beliau menerima anugerah tersebut, pertama kali pada tahun lepas.

Chong Wei dan Pandelela masing-masing menerima trofi dan wang tunai RM20,000 daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Pandelela, 19, menyumbang pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-26 selain merangkul pingat gangsa bagi acara 10m platform individu pada Kejohanan Terjun Dunia Fina di Dubai tahun lepas.

Ratu terjun kebangsaan itu juga turut berada ditempat keempat pada kejohanan Terjun Dunia Fina di Moscow bagi acara 10m platform individu April tahun lepas serta memungut pingat gangsa bagi acara sama pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.

Beliau juga menjadi atlet wanita Malaysia pertama menyumbang pingat dalam sejarah penglibatan Malaysia dalam Sukan Olimpik.

Sementara Chong Wei mengungguli pencapaian terbaik sepanjang tahun lepas termasuk menjadi juara dalam lima kejohanan antarabangsa antaranya kejohanan Super Series dan GP Emas Terbuka Malaysia.

Beliau juga dinobatkan sebagai naib juara sebanyak dua kali dalam Super Series di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Antara atlet lain yang turut dicalon bagi anugerah Olahragawati Kebangsaan ialah Nur Suryani Muhamed Taibi (menembak), Datuk Nicol Ann David (skuasy), Esther Cheah Mei Lan (tenpin boling), Chai Fong Ying (wushu), Quzandria Nur Muhamad Fathil (ekuestrian) dan Fateha Mustapa (berbasikal).

Sementara Muhd Syafiq Ridhwan Abdul Malek (tenpin boling), Bryan Nickson Lomas (terjun), Ricky Leong Tze Wai (karate), Sazali Abd Samad (bina badan), Khairul Anuar Muhamad (memanah) dan Yu Peng Kean (lawan pedang) turut dicalonkan bagi anugerah Olahragawan Kebangsaan.

Manakala pemenang pingat perak acara memanah pada Sukan Paralimpik London 2012, Hasihin Sanawi dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan.

Beliau menerima trofi dan wang tunai RM10,000 manakala untuk kategori Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pula tiada calon yang layak.

SENARAI PENERIMA ANUGERAH:

1. Olahragawan Kebangsaan: Datuk Lee Chong Wei

2. Olahragawati Kebangsaan: Pandelela Rinong

3. Pasukan Lelaki Kebangsaan: Skuad Hoki Remaja Kebangsaan – Mohd Hazrul Faiz, Norhizat Sumantri, Faiz Helmi Jali, Muhamad Ramadhan Rosli, Shazrul Imran Nazli, Mohamad Syamim Mohd Yusof, Mohd Fitri Saari, Muhammad Noor Faieez Ibrahim, Shazril Irwan Nazli, Faizal Shaari, Dedy Ariyadi Jumaidi, Muhammad Aslam Mohammad Hanafiah, Muhammad Firhan Ashari, Amir Farid Ahmad Fuzi, Shahrul Azaddin Aus Karzie, Mohammad Izat Hakimi Jamaluddin, Kavin Kartik Govindasamy, Mohamad Azri Hassan

4. Pasukan Wanita Kebangsaan: Skuasy – Datuk Nicol Ann David, Low Wee Wern, Delia Odette Arnold, Siti Munirah Jusoh

5. Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Hasihin Sanawi

6. Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Rashid Sidek (badminton)

7. Anugerah Kepimpinan Sukan: Datuk Abu Samah Abdul Wahab (berbasikal)

Datuk Seri Paul Mony Samuel (bola sepak)

8. Anugerah Tokoh Sukan 2012: Tan Sri Elyas Omar

9. Anugerah Khas 2012: Ng Chow Seng (angkat berat)

Muhammad Zulfahmi Khairuddin (permotoran)

- BERNAMA

(Video) Pelari Malaysia Lim Kian Huat terselamat dari letupan di Boston

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang menyertai Maraton Boston terselamat daripada dua insiden letupan bom berdekatan garisan penamat di Massachusetts, Amerika Syarikat.

"Saya bersyukur kerana tidak menjadi mangsa.

"Saya meninggalkan tempat kejadian 30 minit sebelum letupan berlaku memandangkan saya menamatkan larian dalam masa tiga jam 33 minit. Saya berada di stesen Arlington apabila letupan berlaku," kata Lim Kian Huat, 57, ketika dihubungi.

Lim yang merupakan jurutera penyelenggaraan pesawat Malaysia Airlines berkata, walaupun dia tidak jelas mengenai apa yang berlaku, bandar tersebut bertukar menjadi huru-hara.

"Saya amat terkejut. Maraton Boston itu merupakan acara tertua dan terkemuka, tiada siapa menduga perkara itu berlaku," kata Lim.

Operasi tren dihentikan serta merta sehingga menyebabkan Lim dan beberapa peserta terpaksa berjalan kaki sejauh 5km ke hotel penginapan mereka di Holiday Inn Express.

Di hotel berkenaan, mereka dinasihatkan untuk masuk ke bilik masing-masing dan tidak dibenarkan keluar sehingga arahan diberikan.

"Memandang kejadian itu berlaku pada waktu pagi di Malaysia, saya tidak menghubungi keluarga dengan segera untuk memaklumkan mereka.

"Sebaik saya menghubungi mereka, mereka amat terkejut. Mereka menasihatkan saya supaya menjaga diri dan menunggu kepulangan saya ke Malaysia," katanya.

Lim mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat maraton itu lebih awal kerana tiada ramai kawan dan cuaca sejuk.

"Saya sangat letih selain cuaca yang sejuk. Saya hanya menunggu untuk mengambil hadiah. Saya mungkin berada lebih lama di situ jika kawan saya ada bersama," kata Lim.

Pelumba maraton itu yang bergiat aktif dalam acara tersebut selama tiga tahun untuk acara di Tokyo, Chiang Mai, Yangon dan Taipei akan kembali ke tanah air pada pukul 4 petang Rabu (waktu Boston) dan dijangka tiba pada pagi Khamis (waktu tempatan).

Minggu, 14 April 2013

Piala Axiata: Malaysia juara, tewaskan Thailand 3-1

KUALA LUMPUR: Pasukan Malaysia muncul sebagai juara Piala Axiata selepas menewaskan Thailand 3-1 pada aksi akhir di Stadium KLBA, Cheras, Ahad.

Skuad negara yang gagal mara ke final tahun lalu berjaya mengungguli kejohanan bernilai US$1 juta (RM3.03 juta) ini dengan menyaksikan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei membuat penampilan mengejut buat kali pertama.

Chong Wei yang baharu menyambut kelahiran anak lelaki dua hari lalu, mengakui aksinya ini adalah keputusan di saat akhir.

"Saya tidak mahu bermain sebab baru menyambut kelahiran anak, Kingston tetapi saya mengambil keputusan untuk beraksi sebab mahu membantu negara mendapat tempat pertama.

"Jurulatih ada bertemu saya semalam (Sabtu) dan saya bersetuju. Kejohanan ini bagus kerana kita tidak pernah menang acara campuran selain Sukan Komanwel (Melbourne 2006 dan New Delhi 2010) dan ia manjadi faktor kenapa saya bersetuju.

"Saya gembira kerana berjaya menjalankan tugas saya dan berterima kasih kepada rakan sepasukan dan semua penyokong," jelasnya.

Satu lagi perlawanan melibatkan pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menang bergaya ke atas Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam, 21-16, 21-15.

Manakala pasangan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut menang dengan mengetepikan Boonsak Ponsana-Songphon Anugritayawon, 21-10, 21-17.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah menyampaikan trofi serta replika cek bernilai $US400,000 kepada barisan skuad badminton tanah air.

Sabtu, 13 April 2013

Piala Axiata: Thai cipta kejutan, temu Malaysia di final esok

THAILAND mencipta kejutan besar apabila menewaskan juara bertahan, Indonesia 3-0 dalam saingan separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Axiata di Stadium Cheras, malam ini.

Dengan keputusan itu, Thailand berjaya menempah slot final untuk bertemu Malaysia malam esok.

Pada perlawanan hari ini, Thailand mengutip mata pertama menerusi Ratchanok Inthanon yang mengatasi Lindaweni Fanetri dengan 21-18 dan 21-16.

Rentak kemenangan Thailand diteruskan oleh Tanongsak Saensomboonsuk yang berjaya mengekang kehebatan Tommy Sugiarto dengan skor 21-16 dan 21-15.

Thailand memperoleh mata kemenangan penuh apabila beregu campuran, Sudket Prapakamol/Saralee Thoungthongkam menundukkan pasangan Tontowi Ahmad/Lilyana Natsir dengan 21-17 dan 21-18.

Berikut keputusan separuh akhir Piala Axiata:

Ratchanok Inthanon lwn Lindaweni Fanetri 21-18 dan 21-16.

Tanongsak Saensomboonsuk lwn Tommy Sugiarto 21-16 dan 21-15.

Sudket Prapakamol/Saralee Thoungthongkam lwn Tontowi Ahmad/Lilyana Natsir 21-17 dan 21-18

Liga Super: ATM calar rekod Kelantan

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mencalar rekod tanpa kalah Kelantan di halaman sendiri menerusi kemenangan 3-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Skuad kendalian B.Sathianthan meraih tiga mata penuh dalam perlawanan yang sungguh sengit dan dramatik itu.

Dalam perlawanan itu, ATM membuka tirai jaringan awal menerusi Hairuddin Omar pada minit ke-10.

Selepas itu, ATM menambah jaringan apabila Christie Jayaseelan meledak gol kedua pada minit ke-21.

Anak buah Bojan Hodak tidak berputus asa mencari gol dan akhirnya penantian itu berhasil apabila Faiz Subri merapatkan jurang gol pada minit ke-39.

Namun, gol Kelantan tidak bermakna buat ATM apabila pasukan itu berjaya menjaringkan gol ketiga menerusi Marlon Alex James pada minit ke-63 sekali gus membawa pulang tiga mata penuh.

Berikut keputusan Liga Super yang berlangsung malam ini:

Kelantan 1-3 ATM

Negeri Sembilan 1-1 Lions XII

Pahang 2-1 T-Team

Selangor 2-0 Felda United

Rabu, 10 April 2013

Azzuddin letak jawatan Setiausaha Agung FAM

KUALA LUMPUR 10 April - Datuk Azzuddin Ahmad hari ini mengumumkan meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkuat kuasa pada penghujung bulan depan.

Perkara itu diumumkan beliau pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Eksekutif FAM di sini, sebentar tadi.

Azzuddin mengumumkan keputusan tersebut dibuat untuk membolehkan dia menjadi Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bermula pada 1 Jun.

Selasa, 09 April 2013

Butler serang jurugambar, Boateng turut masuk campur

KUALA TERENGGANU – Kontroversi berhubung desakan merehatkan ketua jurulatih pasukan berstatus kelab T-Team, Peter Butler sudah mencapai kemuncaknya apabila bekas pengendali Terengganu itu bertindak melampaui batas dengan menolak salah seorang jurugambar ketika penyerahan surat ‘direhatkan’ di padang Kompleks Sukan Gong Badak, semalam.

Tidak cukup dengan itu, jurulatih kelahiran England itu juga didakwa turut mencaci, menolak dan cuba merampak kamera milik Tengku Syamim Tengku Ismail.

Butler yang juga pengurus pasukan, berulang kali menghalau sambil menolak dan memaki jurugambar berusia 21 tahun itu dengan panggilan ‘bodoh’ sehingga dia berada agak jauh dari tempat jurulatih itu menerima surat daripada setiausaha kehormat Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBSDKT), Ali Embong.

Begitu pun, Tengku Syamin yang cuba mengambil gambar dari jarak jauh, masih tidak selamat apabila kapten pasukan T-Team, George Boateng turut campur tangan dan bertindak garang dengan merampas kamera dari pegangannya.

“Saya enggan melepaskan kamera saya kerana takut dirosakkan oleh penyerang import itu (Boateng), saya terpaksa menahan kesakitan apabila dia (Boateng) bertindak memulas tangan saya dan mencakar dengan kukunya.

“Saya memang terkejut dengan tindakan agresif dan itu tidak menyangka Boateng sanggup bertindak sedemikian rupa kepada saya, namun saya berjaya mempertahankan kamera daripada dirampas,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Syamim berkata, dia cuma menjalankan tugasnya dan tidak menyangka Butler dan Boateng sanggup bertindak kasar terhadapnya yang sering membuat liputan di padang latihan dan juga stadium.

“Saya sudah membuat laporan polis di balai polis Kuala Terengganu kerana tidak mahu perkara seperti ini berulang kepada wartawan atau jurugambar lain pada masa akan datang.

“Saya juga harap pengurusan T-Team dapat mengambil tindakan sewajarnya ke atas jurulatih dan pemain import itu kerana perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kepada pihak media yang hanya menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab Rasid Jusoh ketika dihubungi melahirkan perasaan kesal dengan kejadian itu dan berjanji akan melakukan siasatan terperinci dalam masa terdekat.

“Apa pun kami akan melakukan siasatan terperinci berhubung perkara ini, dan pastinya tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti mereka berdua melakukan kesalahan di padang latihan petang tadi (semalam).

“Kami akan mendapatkan keterangan daripada semua yang berada di tempat kejadian sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Mengulas berhubung surat untuk merehatkan Butler, Ab Rasid berkata, ketua jurulatih T-Team itu akan direhatkan selama 30 hari, berkuat kuasa hari ini (semalam) yang dihantar melalui pos berdaftar.

“Pegawai kami berada di padang latihan untuk menyerahkan salinan surat tersebut kepada Butler dan kami tidak menyangka ia berakhir dengan ketegangan.

“Surat itu mengandungi arahan supaya Butler berehat dan tidak mengambil bahagian dalam apa juga aktiviti yang melibatkan pasukan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Butler tetap menerima imbuhan gaji dan elaun bulanan lain sementara dia berehat, dan tugasannya sebagai ketua jurulatih akan diambil sementara oleh penolong jurulatih, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor.

“Keputusan merehatkan Butler diluluskan oleh lembaga pengarah pasukan memandangkan T-Team berada di zon penyingkiran selepas tamatnya pusingan pertama Liga Super.

“Kami harap, tindakan merehatkan Butler dan pengambilan pemain import baru dalam masa terdekat dapat membantu pasukan mencapai kemenangan apabila bertandang ke Kuantan Sabtu ini untuk bertemu Pahang pada aksi pusingan kedua,” katanya.

Jumat, 05 April 2013

Tiga pengadil didakwa terima rasuah seks atur perlawanan Piala AFC

Tiga pegawai perlawanan Lubnan yang berada di Singapura bagi mengadili Piala Konfederasi Asia (AFC Cup) ditahan atas kesalahan menerima rasuah seks untuk mengatur perlawanan.

The Straits Time melaporkan pengadil, Ali Sabbagh dan pembantu pengadil, Ali Eid dan Abdallah Taleb berhadapan tuduhan rasuah setiap seorang.

Mereka didakwa menerima rasuah dari bookie dalam bentuk perkhidmatan seks percuma dari tiga wanita berlainan di Hotel Amara di Jalan Tanjong Pagar, Rabu lepas untuk perlawanan juara Liga S, Tampines Rovers dan East Bengal di Stadium Jalan Besar.

Dalam perlawanan tersebut, Tampines Rovers tewas kepada East Bengal 4-2.

FAS telah memaklumkan kepada AFC berkenaan masalah yang dihadapi akibat dari pendakwaan tersebut dan pegawai gantian dari Malaysia dan Thailand telah dihantar ke Singapura.

Rabu, 03 April 2013

TMJ Letak Jawatan Presiden Bola Sepak Johor Darul Takzim

Berita yang sedang hangat berlegar di media-media sosial.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebentar tadi dikhabarkan membuat keputusan mengejut dengan mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Presiden PBNJ.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, serta Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.

Jelas tunku ismail yang sedang dalam tempoh penggantungan enam bulan FAM.

Amat sukar buatnya mentadbir urus PBNJ sebagai presiden. kerana sentiasa tertakluk dengan undang-undang dan peraturan FAM.

Justeru beliau kini hanya mahu bertindak selaku penaung dan menamakan Dato Obet Tawil, Setiausaha Kerajaan Johor sebagai penyandang presiden yang baharu.

Untuk rekod Tunku Ismail dipilih selaku Presiden PBNJ pada 16 febuari 2012.

Bagaimanapun setakat ini masih belum ada pengumuman rasmi dari pihak PBNJ berhubung perletekan jawatan Tunku Ismail.

Selasa, 02 April 2013

Piala AFC: Kelantan kenduri gol belasah Da Nang 5-0

KELANTAN meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut - kali ini 5-0 ke atas SHB Da Nang FC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Kejayaan itu menyusul selepas kemenangan besar pertama 3-1 ke atas Ayeyawady United bulan lalu.

Keputusan itu meletakkan Kelantan dalam kedudukan selesa apabila kini berada di tangga pertama dalam Kumpulan G dengan mengutip tujuh mata - satu mata di depan SHB Da Nang FC.

Dalam perlawanan itu, Kelantan membuka tirai jaringan apabila tendangan kencang dari luar kotak penalti pemain importnya, Dickson Nwakaemi membuahkan hasil pada minit keempat.

Indra Putra menambah hasil jaringan sebelum Faiz Subri menghadiahkan gol ketiga buat Kelantan pada minit ke-23.

Bermula babak kedua, keghairahan tuan rumah mencari kemenangan semakin memuncak apabila Kelantan terus berpesta gol setelah Dimitrios Pertratos menjaringkan gol keempat hasil hantaran Faiz Subri pada minit ke-58.

Dan, akhirnya anak-anak buah Bojan Hodak menutup tirai perlawanan malam tadi dengan gol kelima menerusi Piya pada minit ke-85.

Pada perlawanan keempat Kumpulan G, Kelantan sekali lagi akan bertemu dengan SHB Da Nang FC yang akan berlangsung di tempat lawan minggu depan.

Senin, 01 April 2013

Piala FA: Chelsea kuburkan impian Man United

LONDON - Juara bertahan, Chelsea menyekat impian Manchester United untuk mencari kejuaraan berganda musim ini apabila meraih kemenangan tipis 1-0 di Stamford Bridge pada saingan suku akhir ulangan Piala FA.

Penyerang antarabangsa Senegal, Demba Ba memecah kebuntuan antara kedua-dua pasukan pada minit ke-49 untuk meletakkan Chelsea berada di kalangan empat pasukan yang masih berpeluang memburu kejuaraan Piala FA dan ia merupakan kali keenam dalam lapan musim.

Melalui hantaran menarik daripada Juan Mata, Ba melepaskan satu sepakan voli menarik yang tidak mampu diselamatkan oleh David De Gea.

Chelsea bakal berdepan Manchester City pada saingan separuh akhir di Stadium Wembley, 14 April ini.

Walaupun mungkin tidak popular di kalangan penyokong setia Chelsea, Rafael Benitez berpeluang membawa kelab London itu meraih dua trofi iaitu Liga Europa selain Piala FA.

''Ini adalah kemenangan yang cukup istimewa dan kami cukup gemar beraksi di Wembley serta sentiasa mahukan kejayaan dalam kejohanan Piala FA," kata penjaga gol Chelsea, Petr Cech.

Bagi United, kekalahan itu bermakna mereka selama sembilan tahun gagal mengecapi trofi Piala FA dan hanya tinggal kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) paling realistik buat anak-anak buah Alex Ferguson.

Keputusan Ferguson meletakkan Robin Van Persie di bangku simpanan dan menggandingkan Danny Welbeck serta Javier Hernandez menimbulkan persoalan besar kerana menyimpan penyerang terbaik yang dia miliki setelah Wayne Rooney terpaksa diketepikan kerana kecederaan pangkal paha.

Benitez yang sebelum ini mengadu Ferguson enggan bersalaman dengan dirinya pada perlawanan suku akhir pertama, akhirnya kelihatan berdamai apabila kedua-dua pengurus terbabit bersalaman ketika keluar daripada terowong pemain.

Mata berpeluang menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-89 tetapi bola gerakan bersama yang dilakukan bersama Eden Hazard menuju tepat ke arah De Gea.

Walaupun Ferguson membawa masuk Van Persie dan Ryan Giggs bagi mencari gol penyamaan namun situasi itu tidak membantu sebaliknya Chelse kekal bertahan dengan baik. - AFP