Jumat, 29 Maret 2013

'Salahuddin tak perlu jadi hero' - Shahrir Samad

JOHOR BHARU: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dinasihat supaya melengkapkan diri dengan pengetahuan mencukupi tentang sesuatu isu sebelum membuka mulut dan memalukan diri sendiri, kata Anggota Parlimen Johor Bharu Tan Sri Shahrir Samad.

Beliau berkata Salahuddin, yang dicanang sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya pakatan pembangkang memenangi negeri ini, tidak perlu menjadi hero dengan menimbulkan isu tanah di Kampung Melayu Majidee.

"Sebenarnya Salahuddin adalah orang luar yang tidak tahu menahu tentang keadaan sebenar (di Kampung Melayu Majidee) dan membuat cerita seolah-olah dia yang boleh menjadi penyelamat."

"Tanah di Kampung Melayu Majidee sudah bertuan dan memang ada tuan punya tanah yang telah menjualnya kepada pembeli yang layak. Ia (Kampung Melayu Majidee) bukan tanah kerajaan, tetapi tanah milik individu," katanya kepada Bernama di sini.

Shahrir berkata tidak ada halangan bagi pemilik tanah di Kampung Melayu Majidee menjual tanah mereka kepada mana-mana pembeli yang layak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Salahuddin dalam ceramahnya di Kampung Melayu Majidee baru-baru ini bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Salahuddin, yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian, mendakwa pemimpin Umno bercadang menjual tanah-tanah di Kampung Melayu Majidee untuk mengaut komisen yang lumayan hasil penjualan tanah terbabit.

Shahrir berkata pemimpin PAS yang dilahirkan di Johor itu sepatutnya lebih prihatin terhadap penjualan tanah-tanah yang amat luas di Kelantan kepada orang-orang luar daripada negeri itu.

"Beliau (Salahuddin) tidak perlu datang ke sini dan cuba menggambarkan dirinya sebagai seorang penyelamat. Selama ini orang Kampung Melayu (Majidee) duduk dengan selamat dan selesa, semuanya OK," katanya.

Kampung Melayu Majidee yang terletak di tengah-tengah bandaraya Johor Bharu merupakan penempatan terbesar orang Melayu di bandaraya dan merupakan kubu kepada Umno serta Barisan Nasional (BN).

Salahuddin, yang akan bertanding di Johor pada pilihan raya umum kali ini, dijangka akan bertanding di Parlimen Pulai dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya, walaupun tiada pengesahan daripadanya sehingga kini.

Antarapos

Tidak ada komentar:

Posting Komentar