Rabu, 17 April 2013

Khalid Samad cuak dengan pencalonan Zul Noordin

SHAH ALAM – Tindakan Barisan Nasional (BN) Selangor meletakkan bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam satu merampas kembali Selangor daripada Pakatan Rakyat, dakwa penyandangnya, Khalid Abdul Samad.

Sehubungan itu beliau berkata, BN Selangor sanggup melakukan apa sahaja taktik termasuk membenarkan calon bebas menggunakan tiket parti perikatan itu.

Bagaimanapun katanya, BN berhak meletakkan sesiapa saja termasuk wakil rakyat yang pernah lompat parti untuk berebut kerusi yang pernah beliau menangi pada pilihan raya 2008.

“Dalam keadaan terdesak dan usaha BN untuk merampas Selangor, mereka sanggup gunakan Zul Noordin untuk capai cita-cita mereka.

“Saya yakin warga Shah Alam lebih bijak dalam hal ini dan tidak boleh dikaburi dengan isu-isu sensasi dan emosi lagi.

“Mereka (rakyat Selangor) lebih faham lambang dacing itu terkenal dengan budaya rasuah dan taktik Zul Noordin itu mungkin tak akan berjaya,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika yang dihubungi, hari ini.

Khalid turut mempersoalkan integriti Naib Presiden Perkasa itu yang dilihat bukan sahaja telah mengecewakan pengundi di Parlimen Kulim Bandar Baharu bahkan tidak menghargai mandat rakyat kerana tidak mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya kali ini.

“Kenapa dia (Zul Noordin) tidak tumpu kepada Kulim Bandar Baharu yang dia sendiri adalah penyandangnya pada pilihan raya lalu?

“Adakah Kulim Bandar Baharu tidak ada nilai baginya disebabkan orang dah tahu dan kenal siapa dirinya yang sebenar dan tak boleh menang lagi di tempat itu?” soalnya.

Dakwanya lagi, Zulkifli merupakan satu-satunya calon bebas yang terpilih untuk mewakili BN pada PRU13 kerana beliau berjaya meyakinkan pucuk pimpinan parti perikatan itu dengan menaburkan pelbagai janji manis.

Kata Khalid, tidak hairanlah apabila BN boleh termakan pujuk rayunya hingga sanggup mempertaruhkan kerusi Parlimen Shah Alam kepada seorang calon bebas itu.

“Beliau seorang yang bijak berhujah dan berjanji macam-macam dengan BN hingga sanggupkan tawarkan diri untuk bertanding di Shah Alam.

“Kepintaran berhujah dan setakat ini dia seorang (calon bebas) saja yang dapat kerusi dan bertanding di Parlimen Shah Alam,” katanya.

Ditanya sama ada strategi BN Selangor yang meletakkan calonnya dalam kalangan profesional dan berlatar belakang agama mampu meraih undi rakyat, beliau menegaskan meskipun parti pemerintah itu cuba mengetengahkan calon bersih dan baik kepada rakyat, namun natijahnya tetap sama kerana mereka berkiblatkan kepada parti yang gagal menunjukkan prestasi yang baik ketika menjadi kerajaan di Selangor sebelum 2008.

“Rakyat tak akan undi secara mudah, tapi memilih calon mana yang berkemampuan, akhirnya soal calon akan diberi penilaian oleh rakyat.

“Walaupun calon berubah sedikit tapi corak pemerintahan BN tak ada bezanya, sama saja macam dulu,” katanya sambil tidak menolak kemungkinan serangan peribadi dan isu sampingan akan digunakan Zulkifli sepanjang tempoh berkempen nanti.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar