Kamis, 18 April 2013

Pendapat politik bukan fatwa

Dalam memenangi hati pengundi menjelang PRU-13, terdapat segelintir pihak mengeluarkan pendapat mereka mengenai hukum atau isu politik semasa, yang kemudian disebut sesetengah pihak sebagai fatwa, lantaran ia dikeluarkan tokoh agama.

Ada yang bertanya, bolehkah ia dinamakan fatwa? Adakah fatwa politik ini mengikat dari sudut undang-undang?

Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu meneliti apa itu fatwa dari sudut syarak dan undang-undang?

 Fatwa berasal daripada perkataan Arab - fata-yaftu-fatwan, bermaksud menjelas atau menghuraikan permasalahan terhadap suatu perkara yang dimusykilkan. Fatwa atau futya bererti perbuatan yang dikeluarkan seorang alim mengenai hukum berkaitan dengan hal syariah.

Menurut Ibnu Manzur, fatwa ialah perbuatan dilakukan oleh mufti mengenai sesuatu hukum atau satu hukum yang dikeluarkan oleh seorang berpengetahuan luas lagi mendalam dalam perundangan Islam. Mufti pula ialah seorang ahli ilmu yang memberi fatwa Mufti.

Mahir sumber hukum Imam al-Shirazi menerangkan bahawa mufti wajib mengetahui sumber hukum daripada al-Quran dan hadis, memahami isi terkandung di dalam kedua-duanya mengenai halal dan haram, cerita, contoh, mengetahui ilmu bahasa Arab seperti al-balaghah, al-haqiqah, al-majaz, al-am, al-khas, al-mujmal, al-mufasal, al-mutlaq, al-muqayyad, al-mantuq, al-mafhum, mengetahui ilmu nahu Arab, nasikh mansukh, hal persetujuan dan perbalahan pendapat ulama terdahulu, adat diamalkan dan adat tidak digunakan lagi, mengetahui al-qiyas dan ijtihad serta kedudukan tingkatan autoriti sumber perundangan Islam.

Imam al-Shafiiy menegaskan seseorang tidak boleh mengeluarkan fatwa kecuali jika beliau benar-benar memahami al-Quran, mengetahui al-nasikh dan al-mansukh, hukum syariat, takwil dan sebabb turunnya ayat (asbab al-nuzul) serta ayat Makiyyah dan ayat Madaniyyah.

Dia juga mesti benar-benar mengetahui hadis seperti beliau mengetahui al-Quran, mengetahui dengan baik ilmu bahasa Arab dan kehendak sesuatu masyarakat semasa dalam negeri yang tertentu mengenai hukum.

Jadi bukan sebarangan orang boleh menjadi mufti dan bukan sebarangan orang juga boleh mengeluarkan fatwa. Seorang tokoh atau pemimpin agama atau bekas mufti boleh mengeluarkan pendapat, tetapi ia bukan fatwa.

Terbit melalui warta Fatwa menurut undang-undang adalah kenyataan mufti yang diterbitkan melalui warta undang-undang. Pengeluaran fatwa perlu mematuhi prosedur tertentu. Suatu fatwa hendak dikuat kuasa hendaklah diwartakan. Menurut undang-undang, mufti seseorang yang layak, yang dilantik sultan atau Yang di-Pertuan Agong bagi negeri tidak mempunyai sultan, selepas berunding dengan majlis agama Islam.

Di Malaysia, terdapat 14 mufti iaitu setiap negeri mempunyai seorang mufti yang dilantik dan pelantikannya diwartakan. Seksyen 34, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], menyebutkan bahawa fatwa ialah pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubung dengan hukum syarak. Sesuatu fatwa boleh dibuat apabila diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong atau sultan, atau atas permintaan orang ramai melalui surat dihantar kepada mufti atau dibuat atas kehendak mufti itu sendiri.

Sesuatu pernyataan dibuat mufti hanya boleh diambil sebagai fatwa jika pernyataan itu berhubung dengan hukum syarak yang disiarkan dalam warta.

Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam warta hendaklah dipatuhi semua umat Islam yang berada di negeri itu, kecuali amalan peribadi yang dibenarkan mengikut hukum syarak. Fatwa yang diwartakan sebahagian daripada undang-undang yang perlu diikuti oleh semua mahkamah syariah bagi negeri itu.

Dalam pengeluaran sesuatu fatwa, mufti sebenarnya tidak bertindak berseorangan. Mufti akan menjalankan tugasnya bersama dengan Jawatankuasa Fatwa. Walaupun nama jawatankuasa ini berbeza-beza mengikut negeri, tetapi fungsinya adalah sama, iaitu membantu mufti dalam proses mengeluarkan fatwa.

Kawalan fatwa Seksyen 37 Akta 505 memperuntukkan berkenaan keanggotaan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak iaitu mufti, sebagai pengerusi; timbalan mufti; dua anggota majlis yang dinamakan oleh majlis; tidak kurang daripada dua orang, yang layak dan sesuai, dilantik oleh Majlis; dan seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang dilantik oleh Majlis, hendaklah menjadi Setiausaha. Pelantikan keanggotaan dalam jawatankuasa ini bukan daripada kumpulan sama adalah untuk memastikan bahawa semua keputusan dicapai bebas daripada sebarang kecenderungan dan kepentingan sesuatu pihak. Bila sesuatu fatwa hendak dibuat, mufti hendaklah memanggil mesyuarat jawatankuasa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu, menjalankan kajian atau penyelidikan dan kertas kerja disediakan.

Menurut peruntukan di dalam Akta, Enakmen dan Ordinan Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri-Negeri, keputusan dibuat tidak dikatakan sebagai fatwa sekiranya ia tidak dikeluarkan mengikut prosedur atau tatacara yang ditetapkan atau tidak dikeluarkan oleh orang atau jawatankuasa yang diberi kuasa dan disiarkan di dalam warta. Selepas fatwa itu disiarkan dalam warta, barulah ia boleh dikuat kuasa.

Fatwa di Malaysia menjadi urusan rasmi pemerintah yang dikawal pengeluarannya dan dikuatkuasakan peruntukannya, bukan boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya oleh sebarang orang seperti yang berlaku mutakhir ini. Kawalan dan penguatkuasaan ini bukan suatu dicipta oleh pemerintah atau kerajaan, tetapi ia adalah kuasa diberikan oleh undang-undang negara.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan perkara agama terletak di bawah bidang kuasa negeri, maka negeri berhak mengadakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam untuk mengawal hal ehwal berkaitan agama Islam dan kandungan dalam Enakmen ini adalah proses pengeluaran fatwa untuk umat Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.



Tidak ada komentar:

Posting Komentar