Jumat, 19 April 2013

Shariff Omar tetap tanding Bebas

TASEK GELUGOR - Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Shariff Omar masih tetap dengan pendiriannya untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Walaupun beberapa rakan Umno dari Kuala Lumpur menghubunginya supaya memikirkan semula cadangan itu atau menarik diri, namun beliau akan meneruskan hasratnya itu sebagai memenuhi permintaan rakyat akar umbi yang menyokongnya.

“Ada rakan-rakan lama dari Umno menelefon saya dengan menawarkan diri untuk membawa saya bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menyelesaikan masalah itu.

“Tetapi saya kata tak payah lah, sebab ini isu kecil dan Perdana Menteri banyak lagi urusan yang lebih besar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Shariff berkata, beliau menghormati sokongan dan suara pengundi di kawasan berkenaan yang memintanya bertanding dalam pilihan raya kali ini walaupun sebagai calon Bebas.

“Malam itu, saya panggil penduduk sekitar Tasek Gelugor untuk mendengar luahan hati mereka.

“Mereka tetap mahu saya menjadi calon. Kalau mereka pun tak kisah, saya mungkin tidak akan menawarkan diri. Jadi saya menghormati dan menerima cadangan penduduk di sini yang saya kenali berpuluh tahun lalu,” katanya.

Ditanya sama ada pemimpin Umno atau Barisan Nasional (BN) ada menghubunginya untuk berbincang atau memujuknya, Mohd Shariff yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, setakat ini belum ada yang berbuat demikian.

“Tak apa lah. Saya pun tak harap mereka datang jumpa saya sebab saya ni orang biasa saja berbanding mereka.

“Pemimpin Umno selalu anggap ahli yang menentang mereka sebagai pembelot. Kadang-kadang mereka anggap kita ni sebagai musuh ketat. Sepatutnya kita duduk berbincang seperti sebuah keluarga demi kekuatan parti,” katanya

Ditanya sama ada ahli Pas dan PKR kawasan Tasek Gelugor bertemunya selepas pengisytiharan untuk bertanding calon Bebas, beliau berkata, ramai yang datang bertemunya kerana mereka sudah berkawan sejak sekian lama.

“Saya berkawan dengan semua orang walaupun berbeza parti dan fahaman politik, saya boleh duduk bersembang dengan depa. Memang ada yang datang tetapi sebagai rakan sekampung sebab mereka ini lebih mesra kawan,” katanya.

Ditanya sama ada mereka menawarkan tempat atau kerusi untuk bertanding di bawah lambang Pakatan Rakyat (PR), beliau berkata, perkara itu tidak pernah dibangkitkan kerana sudah mempunyai calon tersendiri.

“Calon mereka pun orang kuat. Siapa tak kenal Datuk Abdul Rahman Mydin. Jadi saya serah kepada rakyat untuk buat pilihan dalam pertandingan tiga penjuru nanti,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shariff mengisytihar akan bertanding calon Bebas untuk kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan bakal berdepan calon BN, Shahbudin Yahya dan calon Pas, Abdul Rahman.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar