Rabu, 03 April 2013

‘Ada bukti undi kaum Cina sudah beralih’

Putrajaya: “Ada bukti undi kaum Cina sudah beralih kepada Barisan Nasional (BN). Dulu tak mahu jumpa langsung, sekarang mereka nak jumpa, nak dengar, nak salam (dengan pemimpin BN),” kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, beliau percaya sokongan kaum Cina kepada BN dijangka bertambah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.

Katanya, ia berdasarkan sambutan kaum Cina kepada majlis dianjurkan BN serta penerimaan mereka terhadap penerangan diberikan berhubung dasar kerajaan serta perjuangan parti.

“BN boleh menang walaupun pembubaran diadakan kelmarin atau minggu lalu. Majoriti dua pertiga boleh (diperoleh BN) tapi mungkin susah sikit.

“Bagaimanapun, saya tengok orang Cina ramai yang keluar menghadiri perjumpaan (yang dianjurkan BN), ada bukti undi kaum Cina sudah beralih,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan 10 pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Kelantan yang juga bekas penyokong PAS di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam.

Turut hadir, isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Penasihat Persatuan Minda Pondok Abdullah al-Najmi Saamah serta Pengarang buku kontroversi Air Mata Memali yang juga bekas ahli PAS seumur hidup, Zainon Ismail.

Pada masa sama, Dr Mahathir turut menasihatkan supaya semua pihak bahawa pertandingan dalam PRU kali ini adalah antara parti politik dan bukannya orang perseorangan kerana hanya parti saja boleh menubuhkan kerajaan.

“Jadi parti mesti menang, kalau setia pada parti jangan tengok siapa jadi calon, kalau diletak (calon) MCA, ahli UMNO mesti sokong, kalau letak (calon) UMNO, MCA atau MIC mesti sokong sebab hendak bagi parti menang, bukan orang yang bertanding, dengan itu parti dapat tubuhkan kerajaan lebih kuat dan lebih baik,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran Penasihat DAP Lim Kit Siang supaya Dr Mahathir bertanding di Gelang Patah, Johor, beliau berkata, Lim sepatutnya sudah bersara dan tidak lagi bertanding kerana sudah aktif berpolitik sejak 1964.

“Bagi peluanglah pada orang muda, saya bagi peluang pada orang muda sebab itu saya letak jawatan pada 2003, padahal pada masa itu saya masih boleh lagi, masih popular, tapi nak bagi peluang pada orang lain.

“Lim walaupun dia seorang ahli politik yang berpengalaman dan berpengaruh tetapi tiba masanya dia menarik diri, bagi peluang pada orang muda. Dia menongkat langit, tidak ada dia (nanti) langit akan runtuh,” katanya.

Sementara itu, dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Zainon memohon maaf kepada Dr Mahathir kerana tindakan mereka yang taksub kepada Amanat Haji Hadi sehingga sanggup ‘mengkafirkan’ bekas pemimpin nombor satu itu malah merancang membunuh beliau.

Dr Mahathir berkata, beliau menerima permohonan maaf itu, namun apa yang lebih menggembirakan adalah kesedaran mereka di atas kesilapan terlalu taksub kepada perjuangan PAS sebelum ini.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar