Kamis, 11 April 2013

DAP berputih mata, PKR dan PAS enggan serah kerusi

Alor Setar: DAP Kedah bakal ‘berputih mata’ apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS enggan menyerahkan kerusi mereka kepada parti berkenaan, sekali gus melenyapkan cita-cita DAP negeri untuk menambah kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kali ini.

Difahamkan, PKR dan PAS masing-masing enggan bertolak ansur untuk menyerahkan kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada DAP Kedah seperti yang diharapkan oleh pimpinan parti itu sebelum ini.

Pengerusi PKR Kedah Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata, pihaknya tidak melihat berlaku perubahan dalam soal pembahagian kerusi antara parti dalam pakatan pembangkang seperti diminta Pengerusi DAP Kedah Lee Guan Aik iaitu dua kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN.

“DAP negeri perlu menerima keputusan daripada pimpinan tertinggi pakatan pembangkang kerana mereka lebih arif berhubung calon yang layak untuk bertanding dan mampu memberi kemenangan kepada parti.

“Seharusnya beliau (Lee) tidak perlu kecewa dengan keputusan daripada pucuk pimpinan pakatan pembangkang kerana apa yang dilakukan pemimpin tertinggi itu untuk kepentingan semua,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Wan Salleh berkata, sebagai rakan dalam pakatan pembangkang, DAP perlu menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh merugikan,l sekali gus digunakan oleh parti lain untuk memanipulasi keadaan.

Beliau turut menyangkal dakwaan DAP bahawa mereka boleh menang di kawasan yang dituntut berdasarkan prestasi DAP di Kedah pada PRU yang lalu.

Katanya, pada PRU 2008, pihaknya bertanding secara tiga penjuru di DUN Derga iaitu Barisan Nasional (BN), PKR dan DAP, namun hasilnya BN meraih 6,516 undi menewaskan calon PKR yang mendapat 6,353 undi berbanding DAP meraih hanya 2,095 undi saja.

“Berdasarkan rekod lalu, jelas menunjukkan bahawa PKR mendapat lebih banyak undi daripada DAP dan PKR dilihat berpotensi untuk menang pada PRU13,” katanya.

Dalam PRU 2008, DAP bertanding di dua kerusi DUN dan menang di DUN Kota Darulaman, tetapi kalah di DUN Derga berikutan persaingan tiga penjuru. Bagi menghadapi PRU13, DAP meminta penambahan kerusi termasuk kekal bertanding di DUN Kota Darulaman dan Derga dengan penambahan DUN Bakar Arang, Bakar Bata, Lunas dan Gurun selain dua kerusi Parlimen iaitu Alor Setar dan Padang Serai.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar