Minggu, 14 April 2013

Ella, suami honeymoon di Tanah Suci Mekah

KUALA LUMPUR 15 April - Ratu Rock Ella, 47, akan menunaikan umrah bersama suami, Azhar Ghazali, 31, selepas kira-kira lapan bulan bergelar suami isteri.

Menurut Ella, mereka akan berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 21 April ini dan akan disertai ibu, ibu mertua serta dua kakaknya bagi mengerjakan umrah bersama-sama.

"Inilah hasrat suami saya dan Mekah juga merupakan lokasi utama pilihannya untuk berbulan madu. Jadi, walau di mana saja kami berada atau apa jua yang kami lakukan, semuanya terasa seperti berbulan madu.

"Selepas selesai mengerjakan umrah barulah kami akan memikirkan lokasi seterusnya untuk bulan madu yang masih lagi dalam perancangan," katanya kepada Utusan Online.

Mengulas tentang rutin kehidupan setelah bergelar isteri, Ella berkata, semuanya adalah seperti biasa tetapi kerjanya semakin bertambah dan perlu dilaluinya dengan mudah serta tenang.

"Saya perlu rancang dan uruskan masa saya dengan baik sekali dan apa yang penting saya rasa cukup bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang sangat memahami," jelas Ella yang turut mengakui menemani suaminya dalam setiap penerbangan jika mempunyai kelapangan.

Sementara itu, mengenai perkembangan terbaru kerjayanya, dia baru sahaja selesai melakukan duet bersama penyanyi Indonesia, Shae menerusi lagu “Sayang" versi baharu.

Selain itu, Ella berkata, lagu baharu “Cinta Dahulu Kala" iaitu duetnya bersama Lan The Typewrite kini sudah sebulan dimainkan di corong-corong radio.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar