Selasa, 02 April 2013

Kes Pegawai Daerah SPT cabul pembantu tadbir dilakonkan semula saksi

Roslan cuba mengelak gambarnya diambil oleh media ketika
keluar dari Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, semalam.
BUKIT MERTAJAM - Bekas Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Roslan Yahaya, 52, didakwa memeluk Noor Amiza Azmee, 29, dengan kuat, dalam perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Majistret semalam.

Noor Amiza dalam keterangannya berkata, Roslan memberitahu yang dia amat menyukainya sebelum berbuat demikian.

Dia kemudiannya mengugut untuk melaporkan insiden terbabit kepada suaminya namun tidak diendahkan.

Roslan didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan wanita itu di dalam pejabat Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah, Jalan Betek, Sungai Rambai antara jam 11 pagi dan 1.10 tengah hari 26 April 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan.

Ketika perbicaraan berlangsung, Noor Amiza dibenarkan keluar dari kandang saksi dan melakukan lakonan semula ketika kejadian dengan bantuan jurubahasa.

Noor Amiza mendakwa, dia ketakutan ketika dipeluk namun mendiamkan diri kerana khuatir akan diapa-apakan.

Dia cuba melarikan diri ke arah pintu namun dihalang oleh Roslan yang memegang tombol dan selepas berbual seketika, dia dibenarkan keluar.

Noor Amiza mendakwa yang dia tidak menjerit kerana masa itu merupakan waktu makan tengah hari dan menjangka rakan-rakannya tiada di pejabat.

Dia berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Amir Hamdzah Othman.

Terdahulu, dia ke pejabat Roslan selepas diminta untuk membawa beberapa dokumen yang diperlukan.

Roslan diwakili peguam S Anthonysamy.

Majistret Arif Mohamad Shariff menetapkan 21 dan 22 Mei untuk tarikh sambungan perbicaraan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar