Senin, 08 April 2013

(Pengalaman) Gadis jijik teringat ketelanjuran...

Hidup ini amat tidak keruan kerana masalah peribadi dihadapi cukup membuatkan saya tertekan.

Saya mempunyai seorang teman lelaki dan kami pernah terlanjur. Saya kesal apa yang berlaku.

Saya tahu ia adalah salah saya tapi teman lelaki memaksa melakukan hubungan seks dengannya.

Saya sedih dan terkilan kerana selepas kejadian itu, dia seolah-olah tidak merasa bersalah. Dia bersifat selamba dan melayan saya seperti biasa.

Sebaliknya, saya jijik dengan perbuatan itu dan tawar hati dengannya, malah ada kalanya sakit hati bila teringatkan perbuatan terkutuk itu.

Lebih mengecewakan, dia memutuskan hubu­ngan kami selepas beberapa bulan peristiwa itu. Betapa hancurnya hati saya kerana menyangka dia akan bertanggungjawab di atas perbuatannya.

Namun, saya pasrah dan menerima keputusannya dengan hati yang tenang. Saya kecewa dan berasa ‘tidak berguna’ kerana sudah tidak lagi perawan. Kini, saya takut dan tidak mampu untuk melihat wajah ibu bapa kerana sudah menjadi anak yang tidak berguna dan mengkhianati kepercayaan mereka.

Saya juga tidak punya semangat dan takut meneruskan hidup. Memang ada lelaki mahu berkenalan, tapi saya menolak kerana ia tidak adil bagi lelaki untuk memiliki perempuan yang ‘ditebuk tupai’.

Hidup saya sekarang sangat kusut. Setiap hari saya terpaksa menelan ubat tahan sakit kerana sakit kepala memikirkan hal ini.

GADIS JIJIK,
Negeri Sembilan


Luahan perasaan adalah satu kaedah mengurangkan tekanan. Ia bersifat katarsis dan terapeutik. Dari aspek psikologi, keberanian berkongsi masalah dengan orang lain adalah satu jalan mencari kekuatan hidup.

Adik amat memerlukan kekuatan hidup untuk meneruskan perjalanan hidup yang lebih jauh Dr mengharapkan agar sinar menerangi hidup adik dan bertemu lelaki yang akan membahagiakan adik, bertanggungjawab dan penyayang.

Apa yang adik lalui adalah satu dugaan hidup. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 51 yang bermaksud “ Katakanlah: Tiadalah akan menimpa kami, kecuali apa yang dituliskan Allah bagi kami. Sesungguhnya Allah, jika mencintai suatu kaum, maka Dia akan mengujinya”.

Adik merasa “sudah tidak berguna” apabila tidak mempunyai dara. Rasa tertekan membuat adik menelan pil sakit. Benar. Dr akui walaupun isu “keperawanaan” sering kali menjadi isu penting kepada pasangan yang berkahwin, banyak faktor lain menyumbang kepada kesejahteraan sesuatu perkahwinan.

Elemen isteri solehah seperti bertanggungjawab, menghormati suami dan bersyukur di atas kehidupan dilalui adalah antara elemen yang akan membahagiakan seorang suami dan rumah tangga.

Setiap gadis wajib menjaga mahkota kegadisan­nya kerana penting bagi wanita. Jelas, zina satu perbuatan berdosa dalam agama dan perlu dijauhi.

Apa yang berlaku pada adik boleh menjadi pengajaran kepada gadis lain
supaya tidak mudah terjatuh kepada pujukan teman lelaki untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

Berhubung ketakutan adik untuk menjalin perhubungan dengan lelaki lain selepas peristiwa itu, Dr memahaminya. Secara psikologinya, peristiwa melakukan hubungan seks tanpa kerelaan boleh bersifat traumatik.

Namun, janganlah kerana takut diri ternoda, adik menghalang diri untuk menikmati kegembiraan bersahabat. Jika ada lelaki yang ingin mengisi kekoso-
ngan diri, berilah diri adik dan lelaki itu peluang.

Namun, penting untuk mengingati diri agar tidak mengulangi kesi­lapan lampau.

Adik tidak boleh berputus asa dalam kehidupan ini. Allah SWT berfirman “Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang berlebih-lebihan terhadap dirinya, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya.”

Kaunseling Remaja@MyMetro


Tidak ada komentar:

Posting Komentar