Senin, 01 April 2013

Penyanyi Yaasin dipanggil SKMM

KUALA LUMPUR - Penyanyi, komposer dan penerbit lagu, Yaasin Sulaiman yang terkenal dengan lagu solonya Mimpi Laila, hari ini dipanggil Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan terhadap stesen Radio Free Malaysia (RFM) yang beroperasi tanpa kelulusan badan itu.

Yaasin, bekas Duta AMK, diambil keterangan kerana membuat kenyataan terbuka semasa dihubungi stesen radio terbabit pada 25 Mac lalu berhubung lagu ciptaanya bertajuk Reformasi dan harapannya kepada Malaysia.

"Saya dipanggil sebagai saksi sampingan bukan saksi utama kerana stesen radio itu didakwa beroperasi tanpa kebenaran SKMM.

"... saya tak ada apa-apa pun, bukan kerana kenyataan saya, kesnya kerana ada pihak laporkan tentang stesen radio yang berpengkalan di London itu tidak dapat kebenaran, itu saja," katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.

Ketika ditanya sama ada siasatan terbabit bersangkut-paut dengan ugutan yang diterima bulan lalu di laman YouTube, beliau menafikannya kerana kes itu sudah pun selesai.

Katanya, sesi pertemuan kira-kira dua setengah jam itu ditemani peguamnya yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Modd Akin.

Kontrak beliau sebagai Duta AMK tamat semalam.

"Ketua AMK itu adalah sahabat lama saya, beliau yang beri tugas sebagai Duta AMK dan saya terima tawaran itu pun untuk beri kesedaran, menarik perhatian rakyat dan ia dah tercapai," katanya sambil menyifatkan beliau tidak berminat dengan dunia politik sungguhpun secara terbuka memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Beliau dipanggil SKMM sebaik sahaja pulang dari Kelantan selepas mengadakan persembahan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar