Kamis, 04 April 2013

Ajaibnya Pembangkang… Yang Tabur Janji Mereka, Yang Disalahkan BN

KUALA LUMPUR, 4 April – Impian pakatan pembangkang adalah lebih tertumpu kepada kuasa daripada untuk melaksanakan janji-janjinya yang telah ditulis dalam manifesto malah sehingga kini kepimpinan tertinggi mereka gagal membuat penerangan berkaitan persoalan mengapa banyak janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 tidak dilaksanakan, kata ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Ir. Idris Haron.

Katanya, walaupun pakatan pembangkang yang membabitkan Menteri Besar dan kerajaan negerinya telah disaman oleh sekumpulan suri rumah dan warga emas sebagaimana di Selangor namun sehingga ke hari ini tidak ada sebarang penjelasan berkaitan kegagalan mereka untuk menunaikan janji.

“Lebih dari itu malah pakatan pembangkang bertindak menuding jari terhadap UMNO dan kerajaan pusat iaitu Barisan Nasional (BN) apabila mereka gagal melaksanakan sesuatu janji dan ini adalah cara mereka dalam melarikan diri daripada menjawab pertuduhan dan isu dari rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.com.

Ujarnya, apabila pembangkang dapat menguasai beberapa negeri selepas PRU 2008, tabiat suka menuding jari pada pihak lain tidak dapat dibuang biarpun mereka sudah ada tanggungjawab yang besar dan perlu berdepan dengan kebenaran kerana ia telah menjadi satu budaya.

“Pemimpin pembangkang lebih bertumpu kepada agenda politik dan matlamat peribadi daripada berusaha untuk menunaikan apa yang terkandung dalam menifesto mereka dan lebih teruk lagi mereka mengharapkan BN untuk menunaikan janji-janji yang telah mereka taburkan pada rakyat.

“Ini dapat dilihat berdasarkan kepada perkembangan empat buah negeri yang ditadbir pakatan pembangkang apabila ada antara wakil rakyatnya yang menyalahkan kerajaan pusat dan menuding jari kepada BN atas kegagalan mereka menyediakan kemudahan dan keperluan masyarakat.”

Tegas beliau lagi, selama 23 tahun Pas mentadbir Kelantan tetapi malangnya semua rumah mampu milik di negeri terbabit dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Semua rumah mampu milik yang ada di negeri-negeri tadbiran pembangkang disempurnakan pembinaannya oleh kerajaan Persekutuan melalui pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang dilaksanakan oleh SPNB, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Risda, Felda dan lain-lain,” katanya yang juga Pengerusi SPNB.”

Ujarnya, jika sebelum mendapat kuasa mereka menjadikan ia sebagai satu taktik untuk memperlihatkan kononnya kerajaan sering melakukan kesilapan dengan harapan perhatian masyarakat akan lebih tertumpu pada mereka tetapi malangnya kelakuan tersebut berterusan biarpun apabila mereka menjadi wakil rakyat dan pemimpin negeri.

“Inikah dia wakil rakyat yang berkualiti apabila lebih gemar menyalahkan orang lain terutamanya kerasaan Persekutuan daripada mengambil inisiatif dan berusaha memastikan manifesto dapat ditunaikan.

“Kerana itulah kandungan dalam manifesto tidak diambil berat dan dibuat ibarat sekadar menanam tebu di bibir mulut, tapi untuk menunaikannya tidak pernah ada dalam rencana mereka.”

Dilaporkan, Kerajaan negeri Kelantan menerima bantuan berjumlah RM5.3 bilion daripada kerajaan persekutuan dalam tempoh dua tahun sejak Rancangan Malaysia ke-10 dilancarkan pada tahun 2010.

Malah bagi memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera Pulau Pinang pula, Kerajaan Pusat turut memperuntukkan sejumlah RM120 juta bagi melaksanakan pelbagai program pada tahun 2012 yang membabitkan kegunaan bagi membiayai program dalam aspek perumahan, keusahawanan dan modal insan. - MediaUMNO

Tidak ada komentar:

Posting Komentar