Senin, 01 April 2013

Muhammad Ridwan akui salur dana kepada Kesultanan Sulu

KUALA LUMPUR 1 April - Dana yang disumbangkan oleh Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia (Al-Ehsan Islamiah), Muhammad Ridhwan Sulaiman kepada individu yang didakwa berkaitan dengan Kesultanan Sulu hanya atas urusan perniagaan sahaja.

Perkara itu dijelaskan oleh pembantu peribadi kepada Muhammad Ridhwan, Hasbiallah Hakaman kepada pemberita ketika ditemui semasa menemani presiden pertubuhan bukan kerajaan itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dekat sini hari ini.

Hasbiallah mendakwa, dana itu disumbangkan oleh Muhammad Ridhwan sebelum krisis pencerobohan di Lahad Datu, Sabah tercetus.

Katanya, memang sifat Muhammad Ridhwan yang dermawan dan sentiasa membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

"Dalam konteks bantuan kepada lelaki yang didakwa waris sebenar Kesultanan Sulu, Sultan Muedzul-Lail Kiram, ia hanyalah untuk membangunkan kehidupan masyarakat Islam di kepulauan tersebut.

"Saya ingin tegaskan bahawa ayahanda (Muhammad Ridhwan) adalah seorang yang suka memberi (menderma), malah patriotik kerana sentiasa berada di belakang kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pemberian dana kepada waris Sultan Sulu ini hanyalah urusan perniagaan sahaja dan diberikan sebelum krisis berlaku," ujarnya.

Menurut Hasbiallah, pihak Muhammad Ridhwan mempunyai banyak bukti bagi menunjukkan pemberian dana tersebut hanya atas urusan perniagaan.

Katanya, semua bukti tersebut seperti resit bank telah dibawa dan ditunjukkan kepada polis oleh Muhammad Ridhwan semasa menyerah diri dan disoal siasat hari ini.

Hasbiallah bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar dana yang sudah disumbang oleh Muhammad Ridhwan tetapi mengakui ia tidak mencecah nilai jutaan ringgit.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar