Senin, 01 April 2013

Ceroboh Sabah: Koperal didakwa sorok maklumat

Lahad Datu: Tujuh suspek warga Filipina dan seorang lelaki tempatan yang juga anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, yang bersidang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Tujuh lelaki Filipina itu didakwa semalam atas tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas, manakala Koperal Hassan Ali Basri didakwa Jumaat lalu atas pertuduhan berbeza.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, semua individu itu dituduh mengikut Seksyen 121 dan 130 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini.

“Sebahagian daripada lapan suspek terbaru ini dituduh mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan sebahagian lagi mengikut Seksyen 130 akta sama kerana melakukan keganasan.

“Dengan pendakwaan terbaru ini, jumlah individu yang didakwa di bawah SOSMA setakat ini, meningkat kepada 16 orang termasuk lapan suspek didakwa di mahkamah sama pada 21 Mac lalu.

“Jumlah keseluruhan ditahan di bawah SOSMA kini bertambah kepada 128 orang,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, pertuduhan ke atas lapan suspek terbaru itu dibuat selepas polis memperoleh bukti kukuh dan lengkap mengenai pembabitan mereka dengan pencerobohan pengganas yang berlaku di negeri ini.

“Seksyen 121 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah.

“Seksyen 130 akta sama pula memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda sekiranya sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, tiada pengakuan direkodkan daripada tujuh lelaki Filipina berumur lingkungan 20-an hingga 63 tahun itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Rajalingam SS Maniam yang bertindak sebagai majistret.

Pertuduhan asal dalam bahasa Melayu diterjemah ke dalam dua bahasa iaitu Bajau dan Suluk.

Lima daripada tertuduh didakwa atas dua pertuduhan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Mereka juga didakwa atas tuduhan menjadi ahli kumpulan pengganas mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Jumaat lalu, Koperal Hassan didakwa mengikut Seksyen 130M iaitu dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat mengenai tindakan pengganas, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

myMetro

Tidak ada komentar:

Posting Komentar