Kamis, 04 April 2013

Ura-ura Chua Jui Meng kembali kepada Barisan Nasional bertiup kencang?

MUAR 4 April - Barisan Nasional (BN) Bakri akan menolak sama sekali Datuk Dr. Chua Jui Meng sekiranya Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu berhasrat kembali ke pangkuan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) ini.

Pengerusinya, Datuk Saipolbahri Suib berkata, walaupun Jui Meng pernah menjadi Ketua Bahagian MCA Bakri selama 22 tahun, BN Bakri tidak mahu menerima pemimpin yang tidak ada harga diri, pembelot dan berjuang untuk kepentingan diri.

"Ini (Jui Meng) adalah penderhaka dan pengkhianat, bila dah 'kenyang' dan senang di bawah BN, dia kata BN tak betul, ini penipu," katanya mengulas spekulasi bahawa Jui Meng bakal kembali ke pangkuan MCA dan BN.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum mempengerusikan mesyuarat khas BN Bahagian Bakri yang turut dihadiri para pemimpin utama komponen BN di Bangunan UMNO Bahagian Bakri di sini hari ini.

Spekulasi itu bertiup kencang apabila Jui Meng dikatakan merajuk dan menghilangkan diri sejak hampir sebulan lalu selepas hasratnya bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah tidak mendapat restu pucuk pimpinan partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ekoran kehilangan Jui Meng, beberapa sumber memberitahu beliau berkemungkinan akan menyertai semula MCA dan kembali memberi sokongan kepada BN pada PRU-13.

Spekulasi berkenaan turut dilaporkan beberapa blog baru-baru ini, antaranya blog MyMassa (mymassa.blogspot.com) yang mendakwa tugas Jui Meng kini dipangku timbalannya, Dr. Ahmad Faidhi Saidi.

Blog itu mendakwa, kehilangan Jui Meng disahkan oleh Timbalan Setiausaha PKR Johor, Steven Choong dan beliau dilaporkan sedang 'bercuti' akibat kekecewaannya kerana kerusi Parlimen Gelang Patah yang diidamkan diberikan kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang tanpa mempedulikan kedudukannya sebagai Pengerusi PKR Johor.

Saipolbahri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bakri berkata, rakyat perlu bijak memilih pemimpin dan tidak tertipu dengan para pemimpin yang hanya memikirkan tentang kedudukan diri.

Mengenai tindakan Kit Siang bertanding di Gelang Patah, beliau menyeru rakyat supaya tidak memberi ruang serta peluang kepada pemimpin yang sering melompat kerusi dan bertanding kerana populariti serta bukan untuk berkhidmat.

"Kita mahukan pemimpin yang boleh berkorban dan bertungkus-lumus bekerja untuk rakyat dan bukan pemimpin yang suka melompat-lompat (kerusi)," tegasnya. - UTUSAN

Tidak ada komentar:

Posting Komentar